The Official Portal of The Perak Government

CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 : 2 Mei 2019

CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967

Antara peserta yang hadir turut membacakan ikrar dalam program berkenaan.

IPOH, 2 MEI 2019 - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya kerajaan dapat meminda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 demi menjamin hak dan keadilan penjawat awam serta pekerja di badan berkanun kerajaan.

Presidennya, Dato’ Azih Bin Muda berkata pindaan tersebut akan membolehkan pekerja merujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap sebarang perkara yang berlaku, termasuk hal-hal seperti pembuangan pekerja.

Katanya pada masa kini, sekiranya hendak berbuat demikian mereka harus mendapat perkenan daripada Yang DiPertuan Agong terlebih dahulu, sebelum ia dibawa ke Mahkamah Tinggi. 

Proses-proses ini memakan kos yang tinggi. Tidak adil kepada pekerja kerajaan yang terpaksa mengeluarkan sejumlah kos seumpama itu hanya untuk mereka membela diri.

“Kita mahu prinsip kerajaan berkenaan ‘rule of law’ ini diserap dalam sistem perundangan pekerja kita yang membolehkan mereka mendapat keadilan,” katanya.

Ia turut disuarakan Pengerusi CUEPACS Perak, Encik Zainal Bin Ismail yang menuntut pembelaan sewajarnya kepada penjawat awam oleh kerajaan.

Katanya sudah tiba masanya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini meminda Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Di agensi swasta, pekerja-pekerja mereka jika dianiaya, akan mendapat pembelaan di Mahkamah Perusahaan. Namun di sektor awam sekiranya ada pekerja dianiaya pihak atasan, mereka tiada tempat untuk dirujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Hadir sama, YB Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak Tuan A.Sivanesan; dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sementara itu, YB Tuan M. Kulasegaran berkata, beliau akan membawa cadangan tersebut di peringkat Jemaah Menteri dan kepada Perdana Menteri, sebelum ia diluluskan untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

Beliau yang juga bekas pengamal undang-undang berkata menyedari bahawa memang berlaku kesulitan seperti yang disebutkan.

“Semalam saya ada menyatakan bahawa kerajaan sedang merangka dan meminta beberapa akta supaya semua pekerja dapat menikmati pembelaan.

“Kita memang ada mendapati beberapa akta sedia ada tidak mampu untuk memberi perlindungan kepada mereka sepenuhnya,” jelas beliau.

CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 Salah seorang wakil CUEPACS membaca ikrar dalam program yang berlangsung.
CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 Presiden CUEPACS, Dato' Azih Bin Muda menyampaikan replika CuepacsPA-Raya kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri,Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman dalam majlis sambutan tersebut.
CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 Presiden CUEPACS, Dato' Azih Bin Muda menyampaikan replika CuepacsPA-Raya kepada Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Dato' Dr Rosalina Binti Ahmad dalam majlis sambutan tersebut.
CUEPACS Cadang Kerajaan Pinda Seksyen 52, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 Menteri Sumber Manusia, Tuan M Kulasegaran merasmikan sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.