The Official Portal of The Perak Government

Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia : 4 Mei 2019

Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menganugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP II) kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.

IPOH, 4 MEI 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis penganugerahan bintang, pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dilantik sebagai Yang Dipertua PPM negeri selari dengan Undang-Undang Kecil PPM Perak serta dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP II).

BSP II merupakan anugerah kedua tertinggi PPM yang disampaikan kepada tokoh terbilang dan penganugerahannya amat terhad dan eksklusif, justeru penerimanya hanya terdiri daripada kalangan pemimpin negeri, negara serta pemimpin pengakap yang telah banyak berjasa.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah Sijil Pengakap Raja kepada 287 ahli pengakap negeri ini yang telah lulus dengan cemerlang bagi tahun 2017 dan 2018 sementara 70 pemimpin pelbagai peringkat pula menerima penganugerahan bintang dan pingat PPM.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman; Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Mohd Shafie Bin Mohd Salleh; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bin Bidin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak, Encik Ahmad Azam Shah Bin Abd Majid.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Encik Ahmad Azam Shah berkata, pengakap mula bertapak di Perak pada tahun 1926 di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan hanya berbaki tujuh tahun untuk mencapai usia 100 tahun.

Menurut beliau, pada 27 Februari lalu, impian PPM Perak untuk memiliki bangunan baharu telah tercapai dengan mempunyai sebuah ruang pejabat dua tingkat terletak di Pusat Komersil Jelapang yang turut beroperasi sebagai pusat pentadbiran.

“Harapan dan impian kedua kami ialah memiliki sebuah kem latihan dan kemahiran pengakap negeri Perak. Kami telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perak dan mempersembahkan lokasi sebidang tanah kerajaan negeri yang dicadangkan di pusat pelancongan Pantai Teluk Senangin.

“Menjadi doa dan harapan kami agar impian berkenaan dapat direalisasikan lebih-lebih lagi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal sendiri,” katanya.

Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia DYMM Paduka Seri Sultan Perak menganugerahkan pingat Bintang Seri Maharajalela (Emas) kepada Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Wilayah Satun Thailand Kochem Meenhem.
Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sijil Pengakap Raja kepada Muhammad Ilyas Bin Ismail.
Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menganugerahkan pingat Bintang Seri Maharajalela (Emas) kepada YDP Persekutuan Pengakap Brunei, Matusin Orang Kaya Sura Tuba.
Sultan Nazrin Shah Sempurnakan Penganugerahan Bintang, Pingat Pengakap Malaysia DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama penerima anugerah Pengakap Malaysia Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.