The Official Portal of The Perak Government

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah : 5 Jun 2019

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menyampaikan ucapan di hadapan para tetamu kehormat dalam sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri.

IPOH, 5 JUN 2019 - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Pekarangan Stadium Indera Mulia meriah dengan dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan kaum dan agama.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nadzatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat sama, DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Bin Dato’ Mohammed Radzi.

Majlis bermula pada pukul 2.30 petang dan pengunjung menikmati pelbagai jenis juadah hari raya yang disediakan termasuk lemang dan rendang.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan iaitu Aris Ariwatan, Hamdan dan Wahid Senario.

Sementara itu dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, kehadiran ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan kaum dan agama pada majlis tersebut sebagai bukti penzahiran kepada kesetiaan, ketaatan dan rasa kasih sayang terhadap baginda sultan.

Menurut beliau, namun ketika rakyat negara ini berhimpun dalam suasana yang aman dan harmoni menyambut Aidilfitri, ratusan ribu umat Islam di negara lain sedang merana akibat penindasan dan perang saudara.

Beliau berkata, mengambil iktibar dan menginsafi kesengsaraan yang dilalui oleh umat Islam di beberapa negara lain, seluruh rakyat wajib bersyukur dengan nikmat keamanan di negara bertuah ini.

"Di atas keinsafan ini, kerajaan negeri sentiasa menjunjung dan menyanjung titah supaya kesejahteraan ummah sentiasa terpelihara.

"Ketika kita meraikan perbezaan pandangan politik, selari dengan amalan politik matang, batasan-batasan wajib dijaga, supaya ia tidak menjadi elemen yang memecah belahkan ummah," kata beliau.

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra dengan para tetamu yang hadir pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri.
Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan duit raya kepada tetamu yang hadir dalam sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri.
Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah Antara tetamu yang hadir pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri.
Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap pada sambutan majlis yang berlangsung.
Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak Meriah YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama para tetamu yang memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.