The Official Portal of The Perak Government

60 Usahawan Terima Pembiayaan Berjumlah RM730,500 : 19 September 2019

60 Usahawan Terima Pembiayaan Berjumlah RM730,500

Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Yayasan Perak di Pusat Pembangunan Usahawan.

IPOH, 19 SEPTEMBER 2019 - Yayasan Perak telah meluluskan sebanyak 60 permohonan usahawan mikro melibatkan peruntukan sebanyak RM730,500 bagi pembiayaan Tabung Usahawan Yayasan Perak.

YB Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Tuan Haji Asmuni Bin Awi berkata, peruntukan yang diluluskan itu meliputi 14.6 peratus daripada dana keseluruhan tabung berkenaan yang berjumlah RM5 juta. 

"Fasa pertama kelulusan telah kita berikan kepada 17 penerima (usahawan) dengan jumlah dana RM78,500 pada 20 Jun yang lalu manakala 43 penerima lagi dengan jumlah (dana) melibatkan RM652,000 kita berikan pada majlis hari ini. 

"Pada ketika ini juga, kita telah menerima sebanyak 189 permohonan dan 80 daripadanya dalam proses penyelesaian. Kita harap ianya dapat diluluskan secepat mungkin kerana dana keseluruhan berjumlah RM5 juta itu perlu dihabiskan pada Oktober ini," kata beliau. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pengurusan Kewangan dan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Yayasan Perak di Pusat Pembangunan Usahawan, Meru Raya.

Beliau berkata, rata-rata usahawan yang menerima pembiayaan berkenaan terdiri dikalangan usahawan B40 dan menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor. 

"Mereka ini ada yang buat perniagaan runcit, buka kedai makan, buat penternakan ikan, buka kedai 'hardware' dan sebagainya," ujar beliau. 

Selain itu, menurut beliau, dana yang diperuntukkan daripada tabung berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan negeri memandangkan pihaknya menerima permohonan baru hampir setiap hari. 

"Kita cuba percepatkan untuk semak setiap permohonan. Kita akui adakalanya sedikit terlewat kerana tabung berkenaan baru sahaja diambil alih kerajaan negeri berikutan sebelum ini ia diuruskan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) iaitu badan bukan kerajaan (NGO) milik kerajaan terdahulu," kata beliau.

60 Usahawan Terima Pembiayaan Berjumlah RM730,500 Antara tetamu dan penerima bantuan usahawan yang hadir.
60 Usahawan Terima Pembiayaan Berjumlah RM730,500 Antara salah seorang penerima bantuan usahawan.
60 Usahawan Terima Pembiayaan Berjumlah RM730,500 YB Tuan Haji Asmuni Bin Awi ketika berucap di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.