The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan : 26 Oktober 2019

Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menyampaikan ucapan semasa Program Pegawai Daerah dan YDP Bersama Komuniti.

TANJUNG MALIM, 26 OKTOBER 2019 - Kerajaan negeri sedang memberi tumpuan terhadap projek pembangunan bersama khususnya melibatkan daerah yang terletak bersempadan dengan negeri-negeri di sekitar Perak.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, projek itu kemungkinan menjadi salah satu inisiatif yang bakal digerakkan oleh kerajaan negeri menerusi draf Rancangan Pembangunan Negeri 2019-2030.

Beliau berkata, antara projek yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan adalah meliputi sektor perumahan, perkilangan, pelancongan, pertanian dan sebagainya.

"Kalau kita lihat, daerah seperti Hulu Perak bersempadan dengan Kelantan, Thailand dan Kedah. Daerah Kerian pula bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah. Selain itu, kita lihat juga daerah Bagan Datuk serta Muallim mempunyai sempadan dengan Selangor.

"Muallim misalnya terkenal dengan Proton City dan hab pendidikan. Daerah bersebelahannya adalah Hulu Selangor yang turut rancak dengan sektor perumahan. Jadi, jika kerjasama di peringkat negeri antara kedua-dua pihak berjaya dimeterai, saya fikir ia akan menjadi lebih mantap dan pelbagai kelebihan lain terutama daripada sektor ekonomi juga dapat ditingkatkan," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pegawai Daerah dan YDP Bersama Komuniti Serta Pesta Pau Muallim di Balai Lintang, di sini, hari ini.

Hadir sama, YB Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Tuan Aminuddin Bin Zulkipli dan Pegawai Daerah Muallim, Tuan Shamsul Ridzuan Bin Idris.

Beliau berkata, rakyat di daerah berkenaan juga akan mendapat pelbagai manfaat terutama peluang pekerjaan apabila projek pembangunan tersebut dilaksanakan.

"Peluang pekerjaan merupakan antara manfaat utama yang kita nampak jika projek ini berjaya direalisasikan. Selain itu, perkara-perkara ini juga saya fikir memerlukan sokongan daripada kjaan pusat untuk membantu," kata beliau.

Mengulas mengenai program yang berlangsung, katanya, tujuan utama ia dijalankan adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan insentif dan inisiatif yang ditawarkan kerajaan negeri kepada masyarakat.

"Insentif dan inisiatif itu merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh rakyat dan sebagai kerajaan kita juga perlu memberikan penjelasan yang terperinci untuk setiap rakyat memahami tentang segala yang kita telah tawarkan," kata beliau.

Dalam pada itu, tambah beliau, sebanyak 40 gerai pameran dan jualan telah dibuka kepada orang ramai membabitkan agensi kerajaan, swasta dan syarikat korporat.

Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merasmikan Program Pegawai Daerah dan YDP Bersama Komuniti.
Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bergambar bersama ketua jabatan yang hadir.

Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan

YB Setiausaha melawat gerai jualan pau.
Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika hadir di Program Pegawai Daerah dan YDP Bersama Komuniti.
Kerajaan Negeri Tumpu Projek Pembangunan Sempadan Orang ramai yang hadir di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.