The Official Portal of The Perak Government

Fokus Kepada 'Perak Man' Sebagai Tarikan Utama Pelancong : 16 November 2019

Fokus Kepada 'Perak Man' Sebagai Tarikan Utama Pelancong

YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail ketika tiba di MRTM Deepavali 2019.

IPOH, 16 NOVEMBER 2019 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kerajaan negeri Perak disaran memberi fokus kepada 'Perak Man' dan pembangunan Lembah Lenggong di Hilir Perak sebagai tempat tumpuan pelancong.

YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail berkata ia penting kerana pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

"Bukan mudah untuk sesuatu kawasan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan seharusnya peluang ini digunakan untuk memperkenalkan sisi lain Malaysia kepada dunia," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Perak Man yang ditemukan di dalam Gua Runtuh, Lenggong pada tahun 1990 merupakan rangka manusia era paleolitik yang paling lengkap.

Selain itu, beliau berkata, MOTAC dan kerajaan negeri boleh menggunakan elemen sejarah serta warisan untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya dari United Kingdom memandangkan Perak mempunyai kesan peninggalan residen British yang boleh dijadikan 'historical tourism'.

Tidak sabar menanti ketibaan tahun 2020 yang juga tahun Melawat Malaysia, beliau turut berharap rakyat negara ini khususnya di Perak bersedia menyambut kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini yang kaya dengan sejarah.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penurunan penarafan udara Malaysia oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amarika Syarikat (FAA) sebagai cabaran untuk mencari kaedah baru bagi promosi pelancongan.

Tambah beliau, MOTAC perlu memberi lebih fokus kepada potensi pelancong dari pasaran-pasaran yang tidak menerima impak secara langsung daripada penurunan penarafan itu.

"Kempen-kempen promosi harus dipertingkatkan dengan mengambil kira trend terkini seperti pemasaran digital, penggunaan media sosial dan aplikasi digital yang lebih bersasar serta pakej-pakej tertumpu kepada 'niche market' yang mampu membawa pelancong berpendapatan tinggi ke negara ini," ujar beliau.

Laporan Reuters baru-baru ini menyebut FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia daripada kategori 1 kepada kategori 2 susulan kajian semula ke atas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia yang dilaksanakan pada April lalu.

Mengenai MRTM Deepavali, Dr Wan Azizah berkata ia memberi peluang kepada semua untuk meraikan dan menyambut perayaan kaum-kaum berbeza ke arah membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini, sekaligus menjadikan Malaysia berbeza dengan negara lain.

Tambahnya pelancong antarabangsa datang ke Malaysia kerana seni budaya, jati diri ketimuran, warisan zaman berzaman serta kekayaan flora dan fauna maka semua itu harus dijadikan aset dalam merancang untuk membawa lebih ramai pelancong.

Fokus Kepada 'Perak Man' Sebagai Tarikan Utama Pelancong Orang ramai yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.
Fokus Kepada 'Perak Man' Sebagai Tarikan Utama Pelancong Antara orang ramai yang menghadiri majlis Sambutan Deepavali 2019.
Fokus Kepada 'Perak Man' Sebagai Tarikan Utama Pelancong Persembahan yang diadakan semasa Majlis MRTM Deepavali 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.