The Official Portal of The Perak Government

Hampir 7,000 Unit Rumah Perakku Siap Dibina Di Seluruh Negeri : 12 Disember 2019

YAB Menteri Besar Perak merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu di Taman Tualang Sekah min

YAB Menteri Besar Perak merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu di Taman Tualang Sekah..

IPOH, 12 DISEMBER 2019- Kerajaan negeri telah menyiapkan hampir 7,000 unit Rumah Perakku di seluruh negeri merangkumi perumahan kos rendah, sederhana dan mampu milik.

YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, pada ketika ini sebanyak 11,311 unit rumah sedang dalam pembinaan dan 35,000 unit lagi dalam perancangan bagi mencapai sasaran pembinaan 50,000 unit rumah dalam jangka masa lima tahun.

“Rumah kos rendah ditawarkan pada harga bermula RM70,000 bagi kawasan daerah dan RM90,000 untuk kawasan bandar.

“Bagi kategori rumah kos sederhana pula, ia ditawarkan bermula RM150,000 untuk kawasan daerah dan RM180,000 bagi kawasan bandar. Rumah mampu milik pula dijual pada harga RM250,000 ke bawah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu kepada 54 penerima dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah.

Hadir sama, barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Dato' Nolee Ashilin Binti Dato' Mohammed Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Encik Yuhanas Auree Kamaruddin serta Pengarah Urusan Mimbar Nusantara, Encik Nazrin Cheong Bin Abdullah.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) 2019, memperkenalkan beberapa insentif serta pengecualian caj Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pemaju dan usaha itu secara tidak langsung memastikan pembangunan rumah mesra milik lebih rancak dibangunkan oleh agensi kerajaan dan swasta.

Tambah beliau, bermula tahun 2020, kerajaan negeri melalui LPHP akan melaksanakan program Skim Tanah Lot Perumahan Perakku di kawasan pinggir dan luar bandar dengan pelaksanaan melalui perkongsian dana pembangunan antara peserta.

"Apa yang menariknya, pemohon yang layak bukan sahaja boleh memperolehi lot-lot perumahan ini pada harga 50 peratus lebih rendah daripada pasaran, tetapi siap dengan infrastruktur.

"Semoga usaha ini akan memberikan manfaat kepada keluarga dari golongan sasar untuk memiliki rumah pertama yang selesa," ujar beliau.

Dalam pada itu, tujuan utama kerajaan negeri memperkenalkan skim Rumah Perakku adalah untuk membantu rakyat terutama daripada golongan miskin dan miskin tegar.

"Kita tidak mahu golongan ini dipinggirkan dan saya harap dengan cara ini juga setiap daripada mereka mampu mempunyai rumah sendiri yang lebih selesa untuk keluarga,"  kata beliau.

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu YAB Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu
Antara orang ramai yang hadir ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah Antara orang ramai yang hadir ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah
Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.