The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Perak Sedia Kit Pakej Bumi Hijau, Galak Komuniti Bercucuk Tanam. : 25 Jun 2020

Kerajaan Negeri Perak Sedia Kit Pakej Bumi Hijau, Galak Komuniti Bercucuk Tanam

YAB Menteri Besar Perak menunjukkan slah satu kit Bumi Hijau untuk diedarkan

IPOH, 25 Jun 2020 – Kerajaan Negeri Perak menerusi program Tanaman Bumi Hijau memperuntukkan RM 0.79 juta untuk menyediakan kit Pakej Bumi Hijau kepada 11,081 isi rumah di seluruh negeri untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah sendiri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu berkata, penyerahan kit ini merupakan inisiatif Program Bumi Hijau 2020 bagi menggerakkan agenda memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat.

 “Usaha ini bukan sahaja membantu menghijaukan bumi kita, malah ia juga memberi pulangan kepada komuniti serta mengurangkan perbelanjaan dapur, seterusnya menurunkan kos sara hidup.

“Orang ramai boleh memohon (kit Pakej Bumi Hijau) yang mengandungi biji benih sayur-sayuran dan buah-buahan melalui laman web dan kita fokuskan kepada pejabat ADUN dan sasarkan kepada komuniti.

“Kita akan sampaikan (permohonan) kepada pejabat ADUN dan mereka akan sampaikan (kit Pakej Bumi Hijau) kepada komuniti, orang ramai juga boleh hubungi laman web PPPNP.” katanya ketika sidang media Pelancaran Program Bumi Hijau 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Dato’ Abdul Yunus bin Jamahri dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti binti Othman.

Dalam masa yang sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah dan sedang menggerakkan agenda mewujudkan hampir 1,000 usahawan tani menerusi Skim Usahawan Agrotani.

Beliau berkata, projek ini adalah salah satu usaha menyahut titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai jaminan bekalan negara.

Antara projek ke arah 1,000 usahawan tani menerusi Skim Usahawan Agrotani;

  1. Projek Urban Farming- pembangunan urban farming secara fertigasi bagi Kawasan 700 ekar bagi seluruh negeri perak dengan sasaran 140 usahawan.
  2. Skim Usahawan Pertanian Perak Agriculture Integrated Valley (PAIV) – di Lenggong seluas 600 ekar untuk manfaat 400 peserta ladang kontrak bagi tanaman kontan
  3. Skim Projek Rintis Ladang Usahawan Graduan Senggang- seluas 1000 ekar di Kuala Kangsar khusus buat graduan menganggur seramai 200 orang
  4. Skim Pertanian Nanas Perak- seluas 143 ekar untuk 80 orang usahawan agrotani                                      
  5. Program Pembangunan Usahawan PPPNP (Pinjaman Kewangan Tanpa Faedah dan Geran)- melalui 170 orang usahawan agrotani dalam bidang penternakan, perikanan, pertanian dan komersial asas tani
Kerajaan Negeri Perak Sedia Kit Pakej Bumi Hijau, Galak Komuniti Bercucuk Tanam

Hadir sama, Exco Pertanian Negeri Perak, DAto' Abdul Yunus Jamahri dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti

Kerajaan Negeri Perak Sedia Kit Pakej Bumi Hijau, Galak Komuniti Bercucuk Tanam

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal menyampaikan kit Pakej Bumi Hijau kepada penerima

Sumber : Korporat, SUK Perak.