The Official Portal of The Perak Government

DYMM Sultan Perak Rasmi Masjid Muhammadiah - 18 Julai 2014

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Masjid Muhammadiah sambil diperhatikan YAB Menteri Besar Perak,
Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir.

Ipoh, 18 Julai 2014 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Muhammadiah iaitu masjid pertama di negeri ini yang dibina sepenuhnya berkonsepkan reka bentuk seni bina dan budaya Cina.

Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali dengan Masjid Cina bagi penduduk setempat ini dibina dengan kos RM4 juta dan mempunyai dewan solat wanita di bahagian atas yang boleh menempatkan 200 jemaah manakala ruang solat di bahagian bawah pula mampu memuatkan 800 orang jemaah dalam satu masa.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa titah ucapan baginda sempena perasmian Masjid Muhammadiah bertitah, bahawa masyarakat Cina Muslim Islam telah berkembang di Malaysia sejak zaman dahulu lagi iaitu ketika kedatangan Laksamana Cheng Ho.

“Masyarakat Cina Muslim memiliki perkembangan sejarah yang lama di bumi Malaysia. Bermula dengan ketibaan Laksamana Cheng Ho di Melaka dan Alam Melayu di antara tahun 1405 ke -1433, serta sejarah penempatan kumpulan etnik Hui Hui di Terengganu, suku kaum Koay (Koay Clan) di Pulau Pinang, dan suku kaum Tiangjin Hui Hui di Sabah. Dalam tahun 1770, Song Shilin, seorang Cina Muslim dilaporkan telah membina Masjid Besar di Kampung Ulu Melaka dengan seni bina Cina dan penggunaan sebahagian bahan-bahan binaan yang dibawa dari Negara Cina.”

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masyarakat Cina Muslim berupaya memenuhi peranan besar untuk memberikan gambaran Islam yang tepat kepada masyarakat Cina. Menurut baginda, pada umumnya masyarakat Cina bukan Islam di Malaysia mempunyai fahaman kabur terhadap inti pati sebenar ajaran Islam.

“Ahli-ahli Persatuan Cina Muslim Malaysia yang boleh bertutur dalam bahasa Cina dan lebih rapat hubungan dan budaya dan hubungan sosial dengan masyarakat Cina, berupaya berperanan sebagai jambatan komunikasi untuk mengurangkan jurang salah faham di kalangan komuniti Cina Malaysia terhadap Islam.” titah baginda.

Turut berangkat, YTM Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Dato’ Seri Ashman Shah.

Hadir sama ke Majlis Perasmian Masjid Muhammadiah, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

Kerja-kerja pembinaan Masjid Muhammadiah telah dimulakan sejak 24 November 2011 dan telah siap sepenuhnya pada akhir 2013. Masjid ini dibina menggunakan reka bentuk seni bina cina di mana atap serta kepakarannya dibawa dari Negara China. Tujuan utama penerapan seni bina tersebut adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat berbilang kaum negara ini bahawa Islam tidak menghalang penyuburan budaya kaum selama mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam. Pihak Ahli Jawatankuasa Masjid Muhammadiah berkeyakinan masjid baru ini dapat menjalin perpaduan rakyat. Masjid ini juga mampu menjadi tarikan pelancong apabila penggunaannya meliputi semua kaum termasuk bukan Islam khususnya.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah sempena perasmian Masjid Muhammadiah.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Bantuan Aidifitri Saudara Baru (Muallaf) sebanyak RM 700 ribu.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YTM Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah dan YAB Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir sedang mendengar khutbah Jumaat.
Pemandangan Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali dengan Masjid Cina dibina menggunakan rekabentuk seni bina dan kepakaran dari China.
Pengerusi Masjid Muhammadiah, Dato' Dr. Haji Fadzil Cheah bin Abdullah menyampaikan cenderahati kepada DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sumber: Korporat, SUK Perak.