The Official Portal of The Perak Government

6 Teras Utama Dilaksanakan Dalam Bengkel Rancangan RMKe-11 Fasa 1 Negeri Perak - 5 Ogos 2014

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir ketika menyampaikan ucapan perasmian di Bengkel RMKe-11 Fasa 1 Negeri Perak.

IPOH, 5 OGOS 2014 - Bagi menentukan hala tuju Negeri Perak dan perancangan jabatan serta agensi bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), kerajaan negeri telah mengadakan satu bengkel khas iaitu, Bengkel Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) Fasa 1 Negeri Perak yang akan dilaksanakan mengikut 6 teras utama rangka kerja RMKe-11.

Enam teras pelaksanaan RMKe-11 tersebut merangkumi merekayasa pertumbuhan ekonomi, memperkasa pemacu pertumbuhan, memanfaat bakat, mengarus perdana pengurusan sumber asli dan alam sekitar, memperkukuh pembangunan inklusif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Majlis perasmian Bengkel Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) Fasa 1 Negeri Perak ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir di Casuarina, Bandar Meru Raya Ipoh.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir berkata, pihaknya dijangka mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 12 Ogos ini bagi membolehkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengemukakan pandangan Kerajaan Persekutuan berhubung RMKe-11.

Sehubungan itu, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir berkata, beliau akan memanggil kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak termasuk pembangkang dalam masa terdekat ini bagi mendengar pandangan semua pihak berhubung RMKe-11 ini.

Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Sri SK Devamany; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan EXCO Negeri Perak.

Bagi menjayakan bengkel ini, kerajaan negeri akan mengadakan beberapa siri perbincangan melibatkan sektor awam dan swasta daripada pelbagai bidang, sehingga Ogos atau September tahun depan.

Bengkel kali ini dihadiri kira-kira 150 orang peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Peserta mendengar taklimat yang disampaikan ketika Bengkel RMKe-11 di Casuarina Meru Ipoh.
Peserta bengkel dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut enam teras yang akan dilaksanakan pada RMKe-11.
Pengarah JKR Perak, Dato' Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad mengetuai perbincangan Teras 2 berkaitan Memperkasa Pemacu Pertumbuhan.
Barisan EXCO dan Ketua-Ketua Jabatan bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir di Bengkel RMKe-11.

Sumber: Korporat, SUK Perak.