The Official Portal of The Perak Government

YAB Perdana Menteri Lawat Mangsa Banjir Di Perak - 29 Disember 2014

banjirYAB Perdana Menteri melawat mangsa banjir yang uzur di pusat pemindahan banjir di SMK Sultan Muzaffar Shah Lambor Kanan

Kampung Gajah, 29 Disember 2014 - Keprihatinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak terhadap nasib yang menimpa rakyat terselah apabila beliau mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan banjir yang melanda Negeri Perak bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak meluangkan masa melawat kawasan yang dilanda banjir teruk di negeri ini iaitu di Kampung Gajah, Perak Tengah dan Kuala Kangsar. Kehadiran beliau turut diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

YAB Perdana Menteri tiba di Kampung Gajah kira-kira pukul 1.20 petang, melawat mangsa banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah. YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kemudiannya meneruskan lawatan ke Pusat Pemindahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, dan sekitar pekan Kampung Gajah yang dinaiki air kira-kira sedalam satu meter.

YAB Perdana Menteri seterusnya melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan dan Lambor Kiri di Daerah Perak Tengah.

YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mengakhiri lawatan dengan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan SK Sayong dan meninjau keadaan kawasan banjir di Pekan Kuala Kangsar.

YAB Perdana Menteri turut melahirkan rasa puas hati beliau terhadap usaha kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Negeri Perak.

Menurut beliau, kerajaan negeri menunjukkan kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan pusat untuk membantu mangsa banjir. YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak berkata, kerjasama yang ditunjukkan pastinya menceriakan keadaan di pusat-pusat pemindahan banjir.

“ Tempat-tempat pemindahan banjir yang saya lawati di negeri ini hari ini dalam keadaan selesa dan layanan yang diberikan amatlah baik. Makanan cukup, empat kali sehari dan kemudahan-kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan. Inilah yang dapat kita lakukan untuk meringankan beban yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir. ” kata YAB Perdana Menteri.

Keadaan sekitar kawasan Kampung Gajah yang dilanda banjir sedalam kira-kira satu meter.
Mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan banjir menggunakan lori.
YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak bersalaman bersama mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan banjir.
YAB Perdana Menteri beramah mesra bersama mangsa banjir di MRSM Pasir Salak.
YAB Perdana Menteri bersama YAB Menteri Besar  Perak melawat dan beramah mesra bersama mangsa banjir.

Sumber: Korporat, SUK Perak.