The Official Portal of The Perak Government

Perak Serius Perangi Dadah : 11 Februari 2015

Perangi Dadah
Ketua Polis Perak , Datuk Osman Salleh menyerahkan pondok bergerak kepada YAB Menteri Besar Perak, simbolik kepada kerjasama antara pihak polis dan kerajaan polis dalam menangani isu dadah

IPOH, 11 FEBRUARI 2015 - Kerajaan Negeri Perak serius memerangi dadah apabila menjadi negeri pertama memperkenalkan 6 strategi utama di bawah Pelan Tindakan Strategik PEMADAM sebagai garis panduan untuk membanteras gejala dadah di negeri itu.

EXCO Kerajaan Negeri, YB Dato’ Samsudin Bin Abu Hassan berkata, 6 strategi utama itu ialah pelajar bebas dadah; pekerja bebas dadah; keluarga bebas dadah; komuniti bebas dadah; pemutihan kawasan hotspot dan pembanterasan dadah di peringkat mukim.

“Cabaran untuk merealisasikan pelan tindakan ini antaranya ialah kerjasama semua, ketua-ketua jabatan di peringkat daerah dan negeri, NGO daerah dan negeri harus berganding bahu. ” kata YB Dato’ Samsudin Bin Abu Hassan pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Tahun 2015- 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut beliau lagi, pelan strategik ini akan diguna pakai oleh semua agensi penguatkuasaan dan pencegahan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PDRM dan jabatan-jabatan berkaitan.

YB Dato’ Samsudin Bin Abu Hassan berkata, pelan ini akan dijadikan asas agar setiap tindakan mengikut perancangan yang ditentukan bagi mencapai matlamat Perak bebas dadah menjelang tahun 2020.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan, Datuk Mohd Johari Baharum dan Ketua Polis Perak, Datuk Osman Bin Salleh.

 

Perangi Dadah Ketua-Ketua Jabatan turut hadir di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Tahun 2015- 2020
Perangi Dadah YAB Menteri Besar bersama dif-dif kehormat yang hadir berdiri menyanyikan lagu Kebangsasaan di permulaan majlis.
Perangi Dadah YAB Menteri Besar Perak berdiri di dalam pondok bergerak pihak polis sambil diperhatikan Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan, Datuk Mohd Johari Baharum.
Perangi Dadah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan Perasmian Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Tahun 2015- 2020 di Dewan Bankuet.
Perangi Dadah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyerahkan bahan kempen kepada Pegawai Daerah Hulu Perak, Tuan Hj Mohd Tahir Bin Osman.

Sumber: Korporat, SUK Perak.