The Official Portal of The Perak Government

Al-Quran Bukan Sekadar Untuk Dibaca Atau Dihafal – DYMM Sultan Perak : 13 Februari 2015

alquran
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YAB Menteri Besar Perak membaca bacaan doa selamat setelah selesai majlis tersebut.

IPOH, 13 FEBRUARI 2015 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah umat Islam pada hari ini wajib memahami, mengkaji, menyelami dan menerokai khazanah ilmu yang tersirat dalam Al-Quran untuk dijadikan panduan ketika menyempurnakan tugas dan tanggungjawab dalam mengurus tadbir negara dan menjalankan tugas urus niaga.

“Al-Quran adalah kitab yang sarat dengan khazanah ilmu tetapi sedikit sekali diselami oleh umah Islam pada hari ini.. Umat Islam wajib didampingkan dan masyarakat umum wajib difahamkan dengan kandungan Al-Quran. Al-Quran sering kali berakhir di tahap penguasaan membaca dan menghafal.”  titah baginda di Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua Dan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Sebagai satu langkah untuk meningkatkan apresiasi ummah dan sebagai usaha untuk menangani sebarang salah faham masyarakat umum terhadap Al-Quran, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyarankan sebarang acara yang dianjurkan oleh istana dan kerajaan negeri seboleh-bolehnya dimulakan dengan bacaan beberapa petikan ayat Al-Quran dalam situasi yang sesuai.

Baginda bertitah, bacaan Al-Quran yang perlu dikembarkan dengan maksud ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan. “Ayat yang dipilih tidak perlu panjang, tetapi hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan.”

Turut hadir pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; YBhg. Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj Zakaria.

Pada majlis itu, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menerima cek zakat perniagaan bernilai RM 2,776,486.72 daripada lapan agensi iaitu Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM 1,123,100.75), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM 535.697), Global Maritime Ventures (RM 202,501.52), Affin Islamic Bank (RM 364,800), Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (RM 200,378.45), Faber Medi-Serve Sdn. Bhd. (RM 200,000), RHB Islamic Bank Berhad (RM 100,000) dan Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (RM 50,000).

alquran DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengurniakan watikah pelantikan sebagai Ahli-Ahli MAIPk kepda YBhg. Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj Zakaria.
alquran DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengurniakan watikah pelantikan sebagai Ahli-Ahli MAIPk kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.
alquran YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Gazali Bin Jalal menerima watikah pelantikan sebagai Ahli-Ahli MAIPk daripda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
alquran YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Puan Rohana Binti Abdul Malek menerima watikah pelantikan sebagai Ahli-Ahli MAIPk daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
alquran Majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan hartanah milik MAIPk dengan pemaju projek, UDA Waqaf Sdn. Bhd.

Sumber: Korporat, SUK Perak.