The Official Portal of The Perak Government

YAB Menteri Besar Perak Cadang Jenamakan Semula Taman Herba : 30 Mac 2015

Taman Herba
Kakitangan Taman Herba membawa Menteri Besar Perak melawat tapak semaian herba.

IPOH, 25 MAC 2015 - YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak telah mengadakan lawatan ke Taman Herba untuk membuat tinjauan susulan dan bercadang melakukan penjenamaan semula terhadap Taman Herba di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak.

Tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk memperkemaskan lagi serta melakukan penjenamaan semula kepada Taman Herba. Hal ini kerana, taman berkenaan mempunyai potensi yang besar dan ianya selaras dengan hasil usaha Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan industri pertanian.

“Taman Herba ini mempunyai potensi yang cukup besar kerana lokasinya yang cukup strategik iaitu hanya berada lebih kurang 10 minit perjalanan dari susur keluar Tol Lebuhraya Utara Selatan”. Jelasnya di sidang media selepas lawatan di sekitar Taman Herba.

Dalam lawatan kerja beliau ke luar negara baru-baru ini secara tidak langsung memberi inspirasi untuk menjadikan Taman Herba sebagai salah satu produk eko-pelancongan yang berasaskan herba untuk menarik lebih ramai lagi pelancong datang ke Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar herba dan juga daripada pakar-pakar universiti tempatan dan luar negara. Tambahan lagi, beliau juga berkata bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan konsultan yang merupakan seorang Profesor terkenal di dunia untuk berkunjung ke Taman Herba bagi meningkatkan kualiti ke tahap antarabangsa.

Selain daripada industri pelancongan, beliau juga berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk mewujudkan kampus di negeri ini sebagai kampus pengajian herba.

“Saya telah pun mengadakan perbincangan secara tidak langsung dengan beberapa pakar daripada dalam negara termasuk professor daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan cadangan daripada MARA”.

Beliau bercadang Kolej Komuniti Lenggong sebagai kampus pengajian herba kerana mempunyai keluasan kampus yang agak besar dan sesuai dijadikan tanaman herba.

Taman Herba Wakil pihak Taman Herba memberikan penerangan kepada YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir di Laman Warisan 2.
Taman Herba YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir bersama Pegawai Pertanian lain menaiki trem untuk melawat tapak kawasan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.