The Official Portal of The Perak Government

Majlis Konvokesyen Kali Ke-4 Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) : 9 April 2015

konvo

Para Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Siri Ke-6.

KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2015 - Majlis Konvokesyen Kali Ke-4 Pegawai Integriti Bertauliah CeIO telah berlangsung pada 9 April 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.

Pada majlis kali ini, seramai 151 orang pegawai CeiO telah ditauliahkan iaitu 33 orang CeIO Siri Keenam, 30 orang CeIO Siri Ketujuh, 30 orang CeIO Siri Kelapan, 43 orang CeIO Eksekutif Siri 1 dan 15 orang CeIO Antarabangsa Siri 2. Seorang pegawai daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak turut ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah pada majlis tersebut.

Program CeIO yang dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bertujuan untuk melahirkan CeIO di agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat. Program CeIO ini juga telah diterima baik oleh negara luar melalui penyertaan peserta program dari negara luar dan pengiktirafan model Pelan Integriti Nasional Malaysia sebagai contoh dan model dalam pembangunan model pengurusan integriti di negara masing-masing.

CeIO berperanan melaksanakan fungsi teras Unit Integriti di agensi masing-masing iaitu:
• Memastikan tadbir urus terbaik dilaksanakan di agensi;
• Memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integrity di organisasi;
• Mengesan dan mengesahkan aduan salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan
etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil;
• Melaporkan salahlaku jenayah kepada agensi penguatkuasaan berkaitan;
• Memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa; dan
• Melaksanakan fungsi urus setia Lembaga Tatatertib agensi masing-masing

YBhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara memperingatkan agar aspirasi Unit Integriti di setiap agensi awam difahami dan dihayati iaitu untuk mencegah berlakunya perlakuan jenayah dan salahlaku. Beliau juga melahirkan harapan agar CeIO sentiasa terus meningkatkan integriti organisasi dan menjadi pemangkin kepada pemantapan budaya berintegriti di negara ini.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh YBhg Dato’ Haji Razali bin Othman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.