The Official Portal of The Perak Government

Istiadat Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah : 6 Mei 2015

Pertabalan

KUALA KANGSAR, 6 Mei 2015 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selamat ditabal sebagai Sultan Perak Ke-35 dalam Istiadat Tabal Adat yang berlangsung dengan penuh istiadat di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Istiadat pertabalan itu dimulai dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Rejimen Askar Jurutera DiRaja 2 Divisyen oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sambil diiringi lagu kebesaran negeri yang dimainkan oleh kumpulan Pancaragam Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Baginda kemudiannya berangkat meninggalkan Istiadat Kawalan Kehormatan bagi meneruskan Istiadat Tabal Adat di Balairung Seri.

Istiadat Tabal Adat dimulakan dengan keberangkatan masuk baginda dan permaisuri ke Balairung Seri dengan didahului jejawat-jejawat istana membawa masuk kesemua 16 lembing dan 16 payung Kerajaan Negeri.

Sejurus itu, YBhg. Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Seri Ir. Mohamad Othman bin Zainal Azim menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat.

Istiadat dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran (Ayat 26 hingga 32 Surah Ali-Imran) oleh Ustaz Hj Radzi Kamarul Hailan, bekas Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2000 dan 2004.

Acara kemudiannya diteruskan lagi istiadat membawa masuk Al-Quran oleh YBhg. Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti dan dipersembah kepada DYMM Sultan Nazrin Shah sebelum baginda mengucup Al-Quran tersebut dan meletakkannya di tempat khas.

Selepas itu, Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri DiRaja, Dato’ Ayob bin Hashim menyerahkan Watikah Pemasyuran DYMM Paduka Seri Sultan Perak XXXV kepada YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zabidi Zainuddin. YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja kemudaiannya membacakan Watikah Pemasyuran sebelum mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini ke hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah lalu dikucup oleh baginda sambil laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali yang turut diikuti hadirin yang hadir.

Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik kemudian menaiki singgahsana bagi mempersembah Mestika Embun serta menyunting Cap Halilintar ke telinga kanan Sultan Nazrin sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' kepada baginda.

Istiadat diteruskan lagi dengan pemasyhuran DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sebagai Raja Permaisuri Perak setelah warkah pengisytiharan gelaran istiadat yang dibawa masuk oleh Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim dengan diapit oleh dua bentara, dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.

Sultan Nazrin kemudian menyemat Bunga Pencawa Pencara ke rambut Tuanku Zara Salim sebelum Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian yang hadir serta diiringi oleh paluan nobat.

Sebaik sahaja selesai, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan sementara YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir mewakili kerajaan dan rakyat.

Atur cara berkenaan diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas Sultan Nazrin menyampaikan titah baginda selepas ditabal sebagai Sultan Perak.

Istiadat tersebut diakhiri dengan Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi memohon perkenan untuk menutup istiadat tersebut.

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Pertabalan

Sumber: Korporat, SUK Perak.