The Official Portal of The Perak Government

702 Terima Darjah Kebesaran Dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Ulang Tahun DYMM Sultan Perak : 27 November 2015


702 Terima Darjah Kebesaran Dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Ulang Tahun DYMM Sultan Perak
DYMM Paduka Seri Sultan Perak memeriksa kawalan kehormat.

KUALA KANGSAR, 27 NOVEMBER 2015 - Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sutlan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah kali ke-59, yang juga merupakan sambutan pertama kali selepas ditabalkan sebagai Sultan Perak XXXV, baginda berkenan menganugerahkan darjah kebesaran dan pingat kehormatan kepada 702 penerima di Balairong Seri, Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Bin Hamidi mendahului senarai 702 penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan apabila beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) yang membawa gelaran Dato’ Seri DiRaja. YAB Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Bin Hamidi menjadi individu pertama yang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Nazrin Shah yang baru pertama kali diwujudkan pada tahun ini.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ini menyaksikan pembaharuan apabila enam anugerah dikhaskan untuk penerima secara anumerta yang diberikan kepada tokoh yang telah meninggal dunia. Anugerah tersebut diberikan kepada tokoh politik, kepemimpinan, pendidik dan anggota keselamatan yang menempa kejayaan unggul serta menyumbang perkhidmatan cemerlang kepada negara dan Negeri Perak.

Mendahului senarai penerima anugerah secara anumerta, Allahyarham Dato’ Sir Onn Bin Jaafar yang merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pengasas UMNO. Beliau dianugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPMCM) yang membawa gelaran Dato’ Seri. Anugerah diwakili oleh cucu Allahyarham, YB Menteri Pertahanan Malaysia , Dato’ Seri Hishamuddin Bin Tun Hussin. 

Ini diikuti anugerah kepada bekas YAB Menteri Besar Perak, Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang, Dato’ Haji Abdul Wahab Bin Toh Muda Abdul Aziz yang juga menerima Darjah SPCM membawa gelaran Dato’ Seri, sebagai mengenang jasa beliau memperjuangkan kemerdekaan negara bersama-sama Dato’ Sir Onn Bin Jaafar. Anugerah tersebut diterima oleh cucu saudara Allahyarham, Toh Muda Azman Yeop Junior.

Seorang lagi tokoh pejuang negara kelahiran Negeri Perak, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmi, yang dikenali sebagai seorang nasionalis radikal dan pemikir Islam dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato Seri. Untuk anugerah tersebut, ia diwakili oleh anak Allahyarham, Dr. Ahmad Shukry Burhanuddin.

Pengasas Persatuan Pelajar Melayu Insaf yang juga merupakan bekas guru Sekolah Inggeris Sultan Yusof Batu Gajah dan Sekolah Anderson Ipoh, Allahyarham Aminuddin Baki turut dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak ( SPMP) yang diwakili oleh anak saudara Allahyarham, Ybhg Datuk Sri Mohd Azim Bin Datuk Zabidi.

Bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kang yang berperanan penting memenuhi tugas dan tanggungjawab keselamatan dan ketenteraman awam ketika Malaysia menghadapi ancaman Konfrantasi Indonesia dan dalam Operasi Seri Aman menghadapi ancaman komunis di Sarawak. Beliau yang meninggal dunia pada 14 November 1975 akibat ditembak pengganas komunis. Tan Sri Khoo Chong Kang dianugerahkan Darjah Seri Pang¬lima Taming Sari (SPTS) membawa gelaran Datuk Seri Panglima dan anugerah diterima oleh isteri mendiang, Koo Swee Kim.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, mendiang Anthony Kevin Morais yang dikenali sebagai seorang pegawai yang tegas dan berpegang teguh kepada prinsip terutama untuk menegakkan keadilan dan mendaulatkan undang-undang itu dijumpai mati dibunuh di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah. Mendiang diumumkan sebagai penerima keenam dan yang terakhir untuk anugerah secara anumerta bagi Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’. Anugerah tersebut diterima adik mendiang, iaitu Datuk Richard Dilaan Morais.

Sementara itu, YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Hamzah Zainuddin adalah antara lima penerima SPMP yang membawa gelaran Dato’ Seri.

YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Puan Rohana Binti Abd Malek dan YB Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya pula antara tiga penerima darjah kebesaran Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’.

Bagi penerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk adalah seramai 21 penerima dan antara penerimanya ialah penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali serta Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madis.

Empat petugas di pelbagai agensi media turut menerima darjah kebesaran iaitu Pengurus Kanan Portal dan Pemasaran Foto Bernama Maznah Khalil dan Ketua Biro akhbar The Star Ivan Loh Hao Wen, yang menerima AMP, manakala Nurul Fariha Onn (TV3) dan Foong Ching Mean dari Sin Chew Daily dianugerah PPT.

Lain-lain darjah kebesaran diberikan kepada 15 orang menerima bagi darjah kebesaran Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 41 dianugerah darjah kebesaran Paduka Mahkota Perak (PMP), 14 menerima Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 170 (AMP), 214 (PPT), 205 (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang

Pingat Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) yang membawa gelaran Dato' Seri DiRaja. 

Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang

YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak menerima pingat DPCM.

Sumber: Korporat, SUK Perak.