The Official Portal of The Perak Government

Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – DYMM Paduka Seri Sultan Perak : 7 November 2015


Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – Dymm Paduka Seri Sultan Perak
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah bertitah sempena Istiadat Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah  (KUISAS).

KUALA KANGSAR, 7 NOVEMBER 2015 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa institusi pengajian tinggi tempatan tidak seharusnya sekadar menjadi penonton yang pasif, sebaliknya wajib secara aktif mengikuti dinamik yang sedang berlaku, sambil memikirkan pengubahsuaian dan adaptasi yang harus dilakukan terhadap sistem pendidikan tinggi di negara ini.

“Satu revolusi sedang berlaku dalam dunia pendidikan tinggi. Kaedah pendidikan yang lebih mudah diakses dengan yuran pengajian yang lebih murah sedang dirintis. Malah para pemegang amanah serta lembaga pengurusan beberapa buah institusi pengajian tinggi, kini turut mempersoalkan justifikasi untuk terus melakukan pelaburan besar bagi menambah lebih banyak infrastruktur dewan kuliah dan tenaga fakulti sedangkan manfaatnya hanya terbatas kepada kumpulan terpilih yang kecil bilangannya.

Kaedah pembangunan dan perkembangan universiti yang diamalkan sekarang, yang diperkenalkan ratusan tahun dahulu adalah kaedah yang disifatkan telah usang kerana diformulasikan ketika permintaan untuk mendapatkan tempat pengajian tinggi secara relatif adalah jauh lebih rendah daripada bilangan permintaan yang dihadapi ketika ini. Kos penyelenggaraan kampus yang besar dan bilangan tenaga fakulti dan pengurusan yang besar, dianggap sudah tidak bersesuaian lagi dalam era sudah terciptanya teknologi yang mengupayakan ilmu boleh disebar secara lebih luas dan secara lebih ekonomik.”titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak sempena Istiadat Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

Baginda ketika bertitah turut memberi contoh mengenai seorang pengajar dari Universiti Stanford Amerika Syarikat, Profesor Sebastian Thrun apabila seramai 25,000 orang daripada jumlah 160,00 pelajar-pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kursus secara talian, berjaya menamatkan pengajian dalam satu semester dan memenuhi kriteria untuk dianugerahkan sijil.

 “Angka tersebut memecah rekod pencapaian dan tahap produktiviti seorang profesor kerana berasaskan kaedah pengajaran secara konvensional, beliau memerlukan 125 semester untuk mengilmukan 25,000 orang pelajar. Yang lebih mengejutkan Profesor Thrun, pencapaian pelajar-pelajar yang mengikuti kursus secara talian adalah lebih baik daripada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian secara langsung di bilik kuliah. Ini adalah satu pencapaian besar yang memberikan satu kepuasan luar biasa kepada seorang profesor yang hatinya terpaut kuat dengan falsafah untuk menyebarkan ilmu bagi manfaat seramai mungkin manusia.” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) berkenaan, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan penganugerahan kepada 478 graduan diploma.

DYMM Sultan Perak turut berkenan menyampaikan Anugerah Diraja kepada graduan Diploma Usuluddin, Munazzahah Zulkifli, Anugerah Rektor KUISAS kepada Nur Amelina Zaheed, graduan Diploma Syariah Islamiyyah Islam dan Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam kepada Nabilatul Huda Mohd Najmuddin.

 

Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – Dymm Paduka Seri Sultan Perak

Penerima Anugerah Diraja, graduan Diploma Usuluddin, Munazzahah Zulkifli, berkongsi kegembiraan bersama  ibu bapa tercinta.

Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – Dymm Paduka Seri Sultan Perak

YAB Menteri Besar Perak dan Rektor KUISAS menyambut keberangkatan tiba DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah.

Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – Dymm Paduka Seri Sultan Perak

DYMM Sultan Perak, YAB Menteri Besar Perak dan Rektor KUISAS bergambar bersama graduan kelas pertama sempena Istiadat Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah  (KUISAS).

Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Perlu Memikirkan Pengubahsuaian Dan Adaptasi Sistem Pendidikan – Dymm Paduka Seri Sultan Perak

 DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah berkenan menyampaikan penganugerahan kepada penerima-penerima anugerah.

Sumber: Korporat, SUK Perak.