The Official Portal of The Perak Government

Fiesta Bagan Datoh 2016 : 2 Januari 2016

Fiesta Bagan Datoh 2016
YAB Timbalan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Fiesta Bagan Datoh 2016.

BAGAN DATOH, 2 JANUARI 2016 - Fiesta Bagan Datoh 2016 disambut meriah apabila berjaya menarik minat lebih 20,000 pengunjung pada majlis perasmian yang disempurnakan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang.

Turut hadir ke majlis perasmian tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; YB Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ Seri S.K Devamany; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Sempena ucapan perasmian Fiesta Bagan Datoh 2016, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi turut mengumumkan Bagan Datoh sebagai daerah kecil terbaharu di negeri ini.

Menurut beliau, perkara itu turut mendapat perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan sokongan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir.

“Insya-Allah atas perkenan Sultan dan kerajaan Persekutuan, sesuatu yang lebih besar bakal berlaku di Bagan Datoh.

Ia berkaitan pengiktirafan kepada Bagan Datoh dan kita akan bawa pembangunan bukan sahaja fizikal malah keseimbangan pembangunan kerohanian.” kata Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Fiesta Bagan Datoh 2016 yang julung-julung kali diadakan di padang Sekolah Kebangasaan Hutan Melintang berlangsung selama 4 hari bermula 31 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016 dengan pelbagai acara diadakan antaranya ceramah agama, pertunjukan bunga api sempena tahun baharu, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan karaoke, pertandingan bola sepak, pertandingan kumpulan muzik Battle of The Band, pertandingan kuiz, sukan rakyat bersama artis, bola sepak persahabatan pilihan artis bersama pilihan Bagan Datoh, Jamuan Makan Perdana dan cabutan bertuah.

Antara artis-artis yang dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Fiesta Bagan Datoh 2016 ialah Black, Tomok, Siti Nordiana, Caliph Buskers, Cat Farish, Arja Lee, Nabil Ahmad dan Angah Raja Lawak.

Fiesta Bagan Datoh 2016

YAB Timbalan Perdana Menteri memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran beliau ke- 63.

Fiesta Bagan Datoh 2016

YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta.

Fiesta Bagan Datoh 2016

Wakil pasukan Pilihan Artis memperkenalkan barisan pemain kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. 

Fiesta Bagan Datoh 2016

Pengunjung yang hadir ke sambutan Fiesta Bagan Datoh 2016.

Sumber: Korporat, SUK Perak.