The Official Portal of The Perak Government

Taklimat Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA) : 5 Januari 2016


Taklimat  Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik ( TPPA )
YB Dato' Seri Mustapa Mohamed ketika memberi  taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

IPOH, 5 JANUARI 2016 - YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya giat membuat penerangan mengenai perjanjian Perkongsian Trans–Pasifik (TPPA) di seluruh negara sebelum dokumen itu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini, sebelum diteruskan di Dewan Negara pada 28 Januari.

Kata beliau, antara cabaran paling sukar adalah untuk menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai kebaikan TPPA dengan menggunakan bahasa paling mudah difahami, sekali gus menepis tohmahan negatif pihak tertentu.

"Kerajaan mahu sebelum dokumen TPPA ini sampai ke Parlimen, biar ramai rakyat tahu tentangnya. Tidak adil anggota Parlimen faham, tetapi masyarakat tidak tahu implikasi penyertaan (negara) dalam TPPA." kata YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed ketika menyampaikan taklimat TPPA di Dewan Bankuet, SUK Perak yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata kenaikan kos sara hidup menjadi antara isu yang menjadi kebimbangan rakyat melalui perjanjian TPPA, namun kerajaan berjanji ia mampu diatasi.

YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed juga berharap semua pihak melihat faedah jangka panjang yang mampu diraih Malaysia menerusi perjanjian Perkongsian Trans–Pasifik kerana menurut beliau impak perjanjian TPPA sudah diperhalusi oleh kerajaan dan beliau menegaskan bahawa perjanjian tersebut akan mendatangkan faedah kepada orang ramai berbanding cabarannya.

Rundingan TPPA yang dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam.

Taklimat  Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik ( TPPA )

YB Dato' Seri Mustapa Mohamed bersama tetamu kehormat berdiri menyanyikan lagu Negaraku.

Taklimat  Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik ( TPPA )

Antara wakil-wakil jabatan yang hadir mendengar sesi taklimat TPPA.

Taklimat  Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik ( TPPA )

Ketua-ketua jabatan turut hadir ke majlis tersebut.

Taklimat  Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik ( TPPA )

YB Menteri Besar Perak turut hadir mendengar sesi taklimat TPPA.

Sumber: Korporat, SUK Perak.