The Official Portal of The Perak Government

Majlis Pecah Tanah Projek MH Pinnacle : 7 Januari 2016


Majlis Pecah Tanah Projek MH PINNACLE
YAB Dato Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir melekatkan nama bangunan yang bakal dibina.

IPOH, 7 JANUARI 2016 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan upacara Majlis Pecah Tanah MH Pinnacle yang terletak di Jalan Medan Ipoh 3.

Bangunan yang merangkumi dua blok 29 tingkat dan mencecah ketinggian 165 kaki dari paras aras laut itu dijangka siap pada penghujung 2018 dan akan menjadi mercu tanda baharu bangunan tertinggi di bandaraya Ipoh.

“Pembangunan berskala besar ini juga hasil daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan dan swasta.” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Turut hadir ketika majlis pecah tanah tersebut YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Datuk Aminuddin Hashim.

Projek pembangunan MH Pinnacle akan dimajukan oleh Birchwood Sdn. Bhd. yang seratus peratus dimiliki oleh MH Avenue iaitu syarikat usahama di antara MB Inc. dan Man Hoe Holdings.

MH Pinnacle yang didirikan di atas tanah seluas 2.617 ekar merupakan bangunan pertama di Perak yang menawarkan ruangan pejabat bertaraf “gred A” berkonsepkan kaca ataupun “glass tower”. Blok pertama MH Pinnacle akan dikenali sebagai MB Inc. Tower dan juga akan menjadi pejabat baru Perbadanan Menteri Besar Perak. Selain itu MB Inc Tower juga akan menempatkan 72 unit bilik hotel, 27 unit kediaman dan 11 tingkat pejabat.

Manakala blok kedua pula dikenali sebagai Amanjaya Tower yang akan menempatkan sebanyak 146 unit kediaman dan mensasarkan golongan yang berpendapatan sederhana tinggi dan mereka yang mementingkan gaya hidup terkini.

MH Pinnacle turut merangkumi sebuah pusat membeli belah yang akan dikenali sebagai Pinnacle Mall. Ia akan menempatkan 26 unit ruangan membeli belah premium ataupun (SOVO) dan sebuah pusat makan dan minuman ikonik ataupun Perak signature food outlet. Di samping itu, pembangunan MH Pinnacle juga dilengkapi dengan sebuah pusat konvensyen, kolam renang, gimnasium dan kelengkapan asas lain.

Majlis Pecah Tanah Projek MH PINNACLE

Dato Bandar Ipoh Zamri Man menyerahkan geran tanah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.),  Datuk Aminuddin Hashim.

Majlis Pecah Tanah Projek MH PINNACLE

YAB Menteri Besar Perak bersama tetamu VIP yang hadir menanam pokok pada majlis pecah tanah MH Pinnacle.

Majlis Pecah Tanah Projek MH PINNACLE

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak melihat model MH Pinnacle yang bakal siap penghujung 2018.

Sumber: Korporat, SUK Perak.