The Official Portal of The Perak Government

Loji Rawatan Air RM110 Juta Dibina Untuk Penduduk Kerian : 26 Januari 2016


Loji Rawatan Air RM110 Juta Dibina Untuk Penduduk Kerian
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Loji Rawatan Air Sungai Rawa.

PARIT BUNTAR, 26 JANUARI 2016 - Kerajaan negeri membina sebuah lagi loji rawatan air bernilai RM110 juta di Sungai Rawa, bagi menampung keperluan penggunaan air bersih di daerah Kerian yang dijangka akan meningkat.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata loji rawatan air itu dijangka mampu memenuhi permintaan terhadap keperluan air dalam kalangan pengguna sebanyak 125 juta liter sehari menjelang tahun 2030.

Menurut YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, ketika ini permintaan bekalan air bersih bagi daerah Kerian dan sekitarnya adalah sebanyak 79 juta liter sehari, namun keupayaan bekalan air sedia ada yang mampu dibekalkan melalui loji rawatan air adalah sebanyak 90 juta liter air sehari.

“Kerajaan negeri amat komited dalam memastikan bekalan air yang berterusan dan berkualiti dapat disalurkan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Oleh itu, pihak Lembaga Air Perak (LAP) membuat perancangan awal dengan membina satu lagi loji di kawasan ini yang dijangka dapat memenuhi keperluan air di daerah Kerian,” kata YAB Menteri Besar Perak selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rawa.

MoU tersebut ditandatangani antara Tabung Wang Amanah, Lembaga Air Perak (LAP) Jabatan Kerja Raya Perak (JKR) dan Pengurusan Aset Air Berhad ( PAAB).

Loji Rawatan Air RM110 Juta Dibina Untuk Penduduk Kerian

MoU antara Tabung Wang Amanah, Lembaga Air Perak (LAP) Jabatan Kerja Raya Perak (JKR)  dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Loji Rawatan Air RM110 Juta Dibina Untuk Penduduk Kerian

YAB Menteri Besar Perak, melihat gambar-gambar berkaitan projek Loji Rawatan Air Sungai Rawa yang bakal dibina di Daerah Kerian.

Sumber: Korporat, SUK Perak.