The Official Portal of The Perak Government

Komponen Latihan TVET Hendaklah Bersifat Dinamik – DYYM Sultan Perak : 22 Mac 2016


DYMM Sultan Perak bersama dif-dif kehormat menyanyikan lagu kebesaran Negeri Perak.

TAIPING, 22 MAC 2016 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar komponen latihan di dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional atau technical and vocational education and training (TVET) harus terus dikembangkan dan hendaklah bersifat dinamik, supaya latihan yang disampaikan dapat memenuhi keperluan semasa, selaras dengan perubahan teknologi yang terus berlaku dengan fasa perubahan yang pesat pada masa kini.

“Oleh yang demikian, kurikulum pengajian TVET tidak boleh bersifat statik. Kandungan kurikulum TVET wajib terus direkayasa. Kurikulum, alatan mengajar dan kelengkapan makmal dan bengkel wajib dikaji dan dikemaskinikan secara berkala, sementara pengajar TVET wajib mengikuti latihan sepanjang masa supaya modul latihan akan bersifat semasa, dan para pelatih dibimbing untuk memiliki daya saing dan kompentensi kemahiran yang selaras dengan tenaga pekerja yang diperlukan dalam pasaram.” titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak sempena Majlis Perasmian Pusat Latihan Teknologi (ADTEC) Taiping, di Dewan ADTEC Taiping.

Terdahulu baginda bertitah bahawa produk lulusan TVET merupakan tenaga kerja paling penting dan paling ramai yang merealisasikan dan menjayakan wawasan ekonomi di negara-negara yang telah bangkit sebagai negara perindustrian utama di Jepun, Jerman, Taiwan dan Korea Selatan.

Titah baginda lagi, tahap penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional di kalangan tenaga kerja dan bilangan yang menguasasi kemahiran tersebut, adalah antara faktor penarik yang mempengaruhi pertimbangan para pelabur untuk  melabur dalam sesebuah negara.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah ucapan baginda turut berharap agar kemudahan yang terdapat di institusi latihan digunakan ke peringkat optimum disamping  menjalinkan jaringan kerjasama bersama industri.

“Membangunkan prasarana institusi latihan, begitu juga menyediakan tenaga pengajar melibatkan kos modal yang besar.  Untuk itu, kemudahan yang terdapat di institusi latihan, hendaklah digunakan ke peringkat optimum.  Program-program latihan separa masa pada waktu malam dan hujung minggu wajar diperkenalkan untuk membolehkan mereka yang sudah bekerja boleh terus meningkatkan kemahiran.  Jaringan kerjasama dengan industri wajar diterokai, agar terbinanya satu hubungan kerja dan terjalinnya persefahaman latihan yang dapat mengurangkan jurang antara corak latihan yang diberi dengan keperluan sebenar industri.”

Berangkat hadir ke Majlis Perasmian ADTEC, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir; YB Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Richard Riot Anak Jaem; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato' Sri Adenan Bin Ab. Rahman dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

ADTEC Taiping Perak merupakan salah sebuah daripada 32 buah institut latihan di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KSM). ADTEC Taiping telah beroperasi dengan menawarkan program latihan di peringkat Diploma Teknologi seperti Teknologi Mikroelektrik, Teknologi Mekatronik, Teknologi Jaminan Kualiti, Teknologi Perisian (Pengaturcaraan), Teknologi Bahan Termaju- Komposit, Seramik dan Polimer.

Keunikan ADTEC Taiping berbanding dengan dengan institusi pengajian tinggi lain di Negeri Perak adalah kerana, ia  merupakan satu-satunya yang menawarkan latihan kemahiran bagi Teknologi Mikroelektrik dan Teknologi Bahan Termaju (Advanced Material) yang mampu menyumbang pekerja mahir dalam industry semikonduktor dan industri komposit teknologi tinggi (sebagai contoh kompen pesawat).

ADTEC Taiping telah memulakan pengambilan pelajar pertamanya pada sesi Julai 2012 dan kini telah mempunyai pelajar seramai 1017 orang. ADTEC Taiping mampu menampung kapasiti penuh latihan sehingga 800  orang pelajar dengan kemudahan latihan dan asrama yang lengkap.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan ADTEC Taiping.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melawat salah satu pameran sempena Majlis Perasmian ADTEC Taiping.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melihat model keseluruhan ADTEC Taiping.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli beramah mesra bersama-sama pelajar ADTEC Taiping.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melihat tangan ' bionik cetakan 3D' yang dipakai oleh Siti Rohani Osman.

Sumber: Korporat, SUK Perak.