The Official Portal of The Perak Government

Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu : 09 Ogos 2016

Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu
YBhg.  S.Thangasvari bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan bekas Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato' Seri S.K Devamany.

IPOH, 09 OGOS 2016 - Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangasvari hari ini dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri S.K Devamany yang telah dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

Pelantikan S. Thangasvari, 68, dibuat sempena berlangsungnya Persidangan Kedua, Penggal Keempat, Dewan Negeri Ke-13 dan pemilihan ini juga mencatatkan sejarah apabila buat julung-julung kalinya Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak memilih seorang wanita sebagai Speaker.

Pencalonan S. Thangasvari diusulkan YB Dato’ Saarani Mohamad yang merupakan ADUN Barisan Nasional dari Kota Tampan dan  disokong oleh YB EXCO Kerajaan Negeri,  Dato’ Dr Mah Hang Soon yang juga merupakan ADUN Chenderiang.

Sementara itu, pencalonan YB Anggota Parlimen Batu Gajah,  V. Sivakumar dibuat YB Adun Changkat Jering Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari parti  Amanah dan disokong YB ADUN Teja,  Chang Lih Kang.

YBhg. S.Thangasvari yang juga merupakan bekas Ketua Wanita MIC Perak pernah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara memperoleh 30 undi mengatasi calon pembangkang, YB V. Sivakumar yang hanya menerima 24 undi setelah 4 ADUN Pas mengambil sikap berkecuali dengan tidak mengundi pada pemilihan Speaker DUN tersebut.

YBhg.  S Thangasvari  ketika ditemui media berkata, beliau berharap pemilihannya selaku wanita pertama menyandang jawatan berkenaan, mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada golongan hawa untuk mencatatkan kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau juga turut mengucapkan terima kasih beliau kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Barisan Nasional yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menyandang jawatan tersebut.

Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu

Setiausaha Dewan, Sharul Azam Shaari memperkenalkan calon-calon yang bakal dipilih selaku YBhg. Yang Dipertua Dewan Negeri sebelum sesi pemilihan berlangsung.

Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu YBhg. S.Thangasvari dipakaikan jubah Yang Dipertua Dewan Negeri Perak setelah memperoleh 30 undi mengatasi calon pembangkang, YB V. Sivakumar yang  hanya menerima 24 undi.
Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu  YBhg.  S.Thangasvari mengangkat sumpah selaku Yang Dipertua Dewan Negeri Perak yang baharu.
Perak Lantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Baharu  Bacaan doa sebelum berlangsungnya Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Dewan Negeri Ke-13.

Sumber : Korporat, SUK Perak.