The Official Portal of The Perak Government

Pengukuhan Ilmu Teras Kekuatan Jiwa Insan – DYMM Sultan Perak : 2 Oktober 2016

Pengukuhan Ilmu
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Negeri Perak.

BAGAN SERAI, 2 OKTOBER 2016 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pengukuhan ilmu dan pengetahuan merupakan teras kepada kekuatan jiwa bagi setiap insan.

Menurut beliau lagi, terdapat ahli politik yang sanggup menggunakan sentimen kaum bagi meraih sokongan sehingga mewujudkan perpecahan di kalangan rakyat.

Titah baginda lagi, peristiwa hijrah turut membuktikan bahawa pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual adalah nadi kepada kewujudan generasi madani, iaitu masyarakat yang maju dari sudut pemikiran, spiritual dan kebendaan.

“Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah bukan sekadar mendirikan tetapi membangunkan masjid. Masjid pada era baginda dan para sahabat, bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat, malah berperanan lebih luas sebagai pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual ummah.

“Masjid juga berperanan sebagai pusat penyatuan umat, berjaya menjalinkan hubungan rapat antara satu puak dengan puak yang lain, hingga terkikis unsur asabiah yang menjadi punca kepada permusuhan dan perpecahan. Bahkan masjid juga menjadi pusat pentadbiran kerajaan Madinah,” titah DYMM Sultan Perak ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Negeri Perak di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Pada majlis tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 2016 kepada bekas pembantu mufti di Pejabat Mufti Perak, Mohamed Abdullah dan Anugerah Khas Ar Ridzuan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang masing-masing menerima wang tunai RM10,000, medal, sebuah plak dan sijil.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik kepada Masjid Al-Islah Keledang Utama, Sungai Siput serta Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik kepada Tanah Perkuburan Kariah Masjid Kampung Boyan, Taiping.

Pengukuhan Ilmu DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak dan DYAM Raja Di Hilir Perak turut berangkat hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Negeri Perak.
Pengukuhan Ilmu Muhamed Abdullah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1438H 2016M peringkat Negeri Perak.
Pengukuhan Ilmu Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, 74, dinobatkan sebagai Tokoh Ar-Ridzuan.
Pengukuhan Ilmu Ketua-ketua jabatan dan orang ramai yang hadir ke Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, Bagan Serai Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.