The Official Portal of The Perak Government

Majlis Perasmian LPHP Dan Penyerahan Surat Tawaran PPR Parit Haji Wahab : 6 Oktober 2016

LPHP
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan Majlis Perasmian Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

PARIT BUNTAR, 6 OKTOBER 2016 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir telah menyempurnakan Majlis Perasmian Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta penyerahan surat tawaran kepada 60 orang penduduk yang layak, bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Amanjaya Parit Haji Wahab, Tanjung Piandang.

Majlis perasmian turut dihadiri Yang Dipertua Speaker Dun Perak, S Thangasvari; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhad Bin Mat Nayan, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Rusnah Binti Kassim; dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bin Bakri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir semasa sidang media berkata, penubuhan LPHP yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu diharap membantu kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana untuk keperluan rakyat.

“Menerusi LPHP, kita menjangkakan sebanyak 1,200 buah rumah kos rendah akan dibina dalam masa terdekat. Pembinaan rumah tersebut melibatkan beberapa kawasan di seluruh negeri.

Pembinaan itu tidak termasuk yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi yang dikoordinasikan bersama LPHP.” kata YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Pelaksanaan PPR Amanjaya Parit Haji Wahab, di sini dibina atas tanah seluas 11.87 ekar dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Lot 3241 dan Lot 3242. PPR Amanjaya I dan PPR Amanjaya II, Parit Haji Wahab mempunyai 100 unit rumah teres satu tingkat dan dibina dengan saiz keluasan keseluruhan 1,300 kaki persegi. Pembinaan setiap unit rumah termasuk keluasan binaan 850 kaki persegi yang mengandungi ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga bilik tidur dan dua tandas dan berharga RM42,000.

Program Perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri yang bertujuan untuk penyediaan kemudahan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya golongan muda yang tidak mampu memiliki rumah yang dijual oleh pemaju swasta. Tidak ketinggalan juga kerajaan negeri turut menghargai jasa dan pengorbanan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) dengan menawarkan 10 unit rumah kepada persatuan ATM.

LPHP YAB Menteri Besar Perak menyerahkan surat tawaran kepada individu yang layak, bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Amanjaya Parit Haji Wahab, Tanjung Piandang.
LPHP YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bergambar bersama penerima surat tawaran PPR Parit Haji Wahab.
LPHP YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bergambar di hadapan rumah PPR Parit Haji Wahab.
LPHP Perumahan Rakyat (PPR) Amanjaya Parit Haji Wahab, Tanjung Piandang yang dibina atas tanah seluas 11.87 ekar.

Sumber : Korporat, SUK Perak.