The Official Portal of The Perak Government

Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan Bil 4/2016 : 8 November 2016

Perhimpunan
YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, YB Kewangan Negeri, dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri membaca ikrar sebelum majlis perhimpunan bulanan berlangsung.

IPOH, 8 NOVEMBER 2016 - YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Gazali Bin Jalal meminta penjawat awam khususnya warga Bangunan Perak Darul Ridzuan supaya meneliti beberapa perkara bagi memastikan sistem penyampaian kepada masyarakat dapat diberikan sebaik mungkin.

Tiga perkara utama yang disentuh oleh YB Dato’ Gazali Bin Jalal ialah berkaitan integriti penjawat awam, perbelanjaan secara berhemat dalam perkhidmatan dan kesediaan penjawat awam Negeri Perak dalam menghadapi tahun 2017.

YB Dato’ Gazali Bin Jalal ketika berucap, meminta seluruh warga kerja Bangunan Perak Darul Ridzuan agar menitikberatkan nilai integriti dalam tugas seharian seperti sikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

“kadang-kadang saya dapati ada antara mereka yang datang tepat pada waktunya tetapi di antara waktu yang sepatutnya mereka bekerja ini, ada masa-masa yang digunakan untuk tujuan yang lain.” kata YB Dato’ Gazali Bin Jalal ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan Bil 4/2016 di Dewan Bankuet SUK Perak.

Menurut YB Dato’ Gazali Bin Jalal lagi, sekiranya setiap penjawat awam melakukan tugas dengan jujur dan amanah, tidak akan timbul masalah kelewatan dalam melaksanakan tugasan ataupun mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.

Menyentuh perkara kedua mengenai perbelanjaan secara berhemat, YB Pegawai Kewangan Negeri berkata, perbelanjaan dari semasa ke semasa sentiasa meningkat sepanjang tahun disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan gaji tahunan dan penambahbaikan skim perkhidmatan.

Oleh yang demikian YB Dato’ Gazali Bin Jalal menyeru setiap jabatan dan bahagian di pentadbiran Negeri Perak supaya berbelanja secara bijak, berhemat seperti menangguhkan dahulu program-program serta kursus yang tidak begitu penting dan menelan kos yang tinggi.

“Diharap semua pihak dapat membantu pihak kewangan negeri dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat menyampaikan perkhidmatan seperti biasa tetapi dengan kos yang boleh kita kurangkan dan kos perbelanjaan secara berhemah.” kata YB Dato’ Gazali Bin Jalal.

Perkara ketiga yang disentuh YB Dato’ Gazali Bin Jalal ketika ucapan beliau ialah mengenai kesediaan penjawat awam Negeri Perak dalam menghadapi tahun 2017. Menurut beliau diharapkan setiap program yang dirancang pada tahun hadapan dapat dirancang degan lebih tersusun dan optimum kerana menurutnya keadaan ekonomi tahun 2017 dijangka lebih mencabar berbanding tahun ini.

“Kita juga kena berhati-hati dan berhemah dalam kita berbelanja pada tahun hadapan..Kalau boleh belanja mengikut peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan dan jabatan perlu membuat perancangan yang lebih tersusun dan mengutamakan perbelanjaan secara berhemah.”

Di akhir program turut diadakan majlis penyampaian insentif kepada atlet Kesedar dan penyampaian hadiah kepada kontinjen SUK Perak telah mencatat kejayaan sempena Kejohanan Sukan SUK SeMalaysia 2016 di Johor Baharu.

Perhimpunan YB Dato’ Gazali Bin Jalal ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet SUK Perak.
Perhimpunan En Mohd Anas Bin Mohd Yusof mengetuai bacaan ikrar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Perhimpunan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan turut menyampaikan sijil Kakitangan Terbaik Bulanan kepada kakitangan warga Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Perhimpunan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bergambar bersama pasukan Ping Pong SUK Perak yang berjaya muncul johan SUKSEM 2016.
Perhimpunan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bergambar bersama-sama atlet yang mewakili Kontinjen SUK Perak sempena SUKSEM 2016 di Johor Baharu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.