The Official Portal of The Perak Government

Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan : 12 Disember 2016

maulidurrasul

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah ucapan baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

TANJUNG MALIM, 12 DISEMBER 2016 - Bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Dewan Sri Tanjong, Daerah Muallim.

Turut berangkat mengiringi baginda, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama bagi memeriahkan sambutan majlis, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan ketua-ketua jabatan.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah ucapan baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan menyeru agar menjauhi perbuatan pecah amanah dan rasuah kerana menurut baginda, ia merupakan faktor yang menyebabkan kejatuhan kerajaan dan tamadun pada masa lalu.

“Sejarah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan rasuah, serta nafsu tamak harta dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia, adalah faktor yang menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.  Dalam sejarah Kerajaan-kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abas, telah lupa kepada amanah ILAHI, kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.  Akibatnya negara berada dalam kekacauan dan rakyat berada dalam persengketaan.  Apabila kuasa dianggap satu peluang untuk memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah untuk mengimarahkan bumi ALLAH, maka akan rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun. ”

Titah baginda lagi, sejak kebelakangan ini dilaporkan begitu banyak berlakunya perbuatan pecah amanah dan perlakuan rasuah di negara ini dan menurut baginda, berdasarkan berita yang tersiar di dalam pelbagai saluran media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa malah berlaku pada skala yang sangat besar.

“Lebih membimbangkan, apabila laporan turut menunjukkan perlakuan rasuah dan pecah amanah dilakukan secara lebih berani dan lebih terbuka dan dilakukan oleh golongan yang berjawatan besar dan berpelajaran tinggi.

Seseorang insan yang memiliki sifat takwa akan insaf  bahawa tugas, adalah satu amanah daripada Ilahi dan tidak akan berani mengubah sesuatu hukum, tidak akan sanggup melakukan muslihat atau tipu daya di dalam penghakiman dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, kerana perbuatan demikian adalah satu dosa di sisi Allah. ” titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada majlis tersebut DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan beberapa anugerah iaitu, Anugerah Pendakwah kepada Azmi Chai Abdullah yang membawa wang tunai RM3000, plak, hadiah iringan dan sijil.

Anugerah Pegawai Masjid (Imam) Muhammad Mukhtar Hamzah; Anugerah Pegawai Masjid (Muazzin), Idris Othman; Anugerah Pegawai Masjid (Siak) Abdul Karim Abdul Hamid; Anugerah Pegawai Penguatkuasa Agama, Zamri Abu Mansor dan Anugerah Keluarga Mithali Mohd Shafai Salleh yang membawa pulang RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil.

maulidurrasul

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H Peringkat Negeri Perak dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti dengan bacaan selawat beramai-ramai.

maulidurrasul

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Tuanku Zara Salim ke Dewan Sri Tanjong, Daerah Muallim.

maulidurrasul

Mohd Shafai Salleh yang membawa pulang RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil selaku penerima Anugerah Keluarga Mithali.

maulidurrasul

DYMM Sultan Perak menyampaikan Anugerah Pegawai Masjid (Siak)  kepada Abdul Karim Abdul Hamid.

maulidurrasul

 DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Pendakwah kepada  Azmi Chai Abdullah.

maulidurrasul

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Tuanku Zara Salim mencemar duli bergambar kenangan bersama dif-dif kehormat dan penrima-penerima anugerah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

ÂÂÂÂ