The Official Portal of The Perak Government

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak : 3 Februari 2017

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak.

PANGKOR, 3 FEBRUARI 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Arena Pangkor.

Ketibaan baginda kira-kira jam 8.30 malam disambut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir serta isteri, YABhg. Datin Seri DiRaja Seri Saripah Zulkifli.

Turut berangkat ke majlis itu DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Rohana Binti Abdul Malek; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal; EXCO Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum itu dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, YB Dato’ Dr Mah Hang Soon.

Acara kemudian diteruskan dengan upacara menggaul yee sang di pentas utama sebagai tanda meraikan sambutan Tahun Baharu Cina oleh dif-dif kehormat.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim pada majlis tersebut turut berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak.

Pengunjung yang hadir turut dipersembahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina antaranya tarian singa, tarian kaum Dai, tarian kaum Wan, persembahan wusyu, tarian kaum Jin Po dan tarian kaum Yi yang berasal dari China.

Terdahulu, sebelum menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak di Arena Pangkor, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Teluk Raja Bayang, Pulau Pangkor.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dan beramah mesra bersama rakyat yang hadir.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

YB Dato' Dr Mah Hang Soon menyampaikan ucapan selaku pengerusi jawatankuasa penganjur.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama dif-dif kehormat menggaul yee sang semasa majlis tersebut.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2017.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Perak

Persembahan tarian semasa Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak 2017.

Sumber : Korporat, SUK Perak.