The Official Portal of The Perak Government

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak : 22 April 2017

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan mock-up cheque kepada pemenang-pemenang bagi Anugerah Desa Hilir Perak 2017.

TELUK INTAN, 22 APRIL 2017 - Lebih 5,000 masyarakat tempatan dan sekitar menyertai program Fit Perak@Hilir Perak yang diadakan di Dataran Pekan Rabu Langkap sempena program Permukiman Menteri Besar Perak di daerah Hilir Perak.

Program Fit Perak@Hilir Perak yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir turut tidak ketinggalan menyertai aktiviti berbasikal Fun Ride VIP sejauh 15 km dan senam aerobik bersama pengunjung yang hadir sempena program itu berlangsung.

Selain acara kayuhan, pelbagai aktiviti menarik seperti acara larian, pameran, temu duga terbuka, karnival jualan usahawan, karnival tiada tertinggal tiada terpinggir serta pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan buat pengunjung yang hadir.

Pada Program Fit Perak@ Hilir Perak, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir turut menyampaikan Penyerahan Insentif Sukan Paralimpik ke-16 kepada atlit-atlit Paralimpik Negeri Perak yang menyertai sukan tersebut di Kuching pada Ogos tahun lalu.

YAB Menteri Besar Perak juga turut menyampaikan mock-up cheque kepada pemenang-pemenang bagi Anugerah Desa Hilir Perak 2017 iaitu Kampung Banjar, Teluk Intan (johan), Kampung Degong, Langkap (naib johan) dan Kampung Kunci Air 4, Sungai Manik (ketiga).

YAB Dato’ Seri Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata, program Fit Perak yang diadakan di setiap daerah sempena Program Permukiman Menteri Besar ini bertujuan untuk melatih rakyat di negeri ini agar mengamalkan cara hidup yang sihat.

Menurut beliau lagi, mengamalkan cara hidup yang sihat tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang tinggi sebaliknya cukup sekadar memiliki tahap disiplin yang tinggi.

Program Fit Perak@Hilir Perak merupakan acara kemuncak yang diadakan sempena Program Permukiman Menteri Besar Perak di daerah Hilir Perak. Permukiman Menteri Besar Perak yang bermula pada 18 April sehingga 22 April 2017 ini turut melibatkan kehadiran barisan Exco serta ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Sebanyak 111 program telah diadakan mencakupi sebahagian kawasan dari Parlimen Teluk Intan dan Parlimen Pasir Salak  bagi melihat sendiri masalah-masalah penduduk di samping mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat setempat.

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak

Atlit-atlit paralimpik Negeri Perak turut tidak ketinggalan mengambil bahagian memeriahkan Program Fit Perak@Hilir Perak.

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan Penyerahan Insentif Sukan Paralimpik ke-16 kepada atlit-atlit paralimpik Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyampaikan ucapan sempena perasmian Program Fit Perak@Hilir Perak.

YAB Menteri Besar Perak Rasmi Fit Perak@Hilir Perak

YB EXCO Kerajaan Negeri, Dato' Shahrul Zaman Bin Yahya bergambar bersama pasukan SUK Cyling Team yang turut menyertai kayuhan VIP bersama YAB Menteri Besar Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.