The Official Portal of The Perak Government

Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak Platform Ketengahkan Produk Masyarakat Setempat : 17 Ogos 2017

Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak Platform Ketengahkan Produk Masyarakat Setempat

YAB Dato' Seri Dr Zambry Bin Abd Kadir melakukan flag-off sempena Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak yang berlangsung sejak 6 Ogos lalu.

IPOH, 17 OGOS 2017 - YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan majlis pelepasan kenderaan rasmi Desa Pelancongan Pasir Salak (DPPS) di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Majlis yang berlangsung sekitar jam 1 tengah hari itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri, YB Dato’ Zainol Fadzi Bin Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Puan Zuraida Binti Md Taib.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan merangkap Pengerusi Penaja Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Encik Nordin Bin Abdul Malik berkata, gimik pelepasan kenderaan itu diadakan sempena Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak yang berlangsung sejak 6 Ogos lalu sehingga 16 September depan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan antaranya Merdeka Boat Cruise (Pertandingan Bot Berhias), Konvoi Merdeka, Malam Gema Puisi, Pertandingan Joran dan sebagainya.

“Program itu juga diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta IGROW YAB (Young Agro Businessman) kepada situasi sebenar dalam mempromosikan sesuatu produk pelancongan.

“Dengan adanya majlis ini, ia dapat menerangkan betapa pentingnya DPPS dalam mempromosikan pelancongan dan mampu menjadi nadi pembangunan ekonomi di kawasan setempat,” ujar beliau.

Nordin berkata, DPPS terdiri daripada tujuh desa yang digabungkan menjadi satu pakej bersama selain dijalankan oleh Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah dengan kerjasama Tourism Perak dan Institut Agro Usahawan.

Katanya, antara desa itu adalah Desa Warisan, Desa Muhibbah, Desa Peneroka, Desa Bendang, Desa Muara, Desa Joran dan Desa Agro di mana ia mempunyai daya tarikan selain keunikan yang tersendiri.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan sempena lawatan kerja melawat Usahawan IKS di Mukim Pulau Tiga pada 06 Ogos lalu.

Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak Platform Ketengahkan Produk Masyarakat Setempat

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berkata sesuatu kepada tetamu yang hadir dalam program berkenaan.

Program Merdeka@Desa Pelancongan Pasir Salak Platform Ketengahkan Produk Masyarakat Setempat

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir melihat antara produk yang dihasilkan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.