The Official Portal of The Perak Government

MAIPk Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta : 28 Disember 2017

MAIPK Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta

Replika cek yang diserahkan Dr Amiruddin kepada Tuan Haji Rumaizi.

IPOH, 28 DISEMBER 2017 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyerahkan bayaran premium tanah bagi pemberi milikan tanah wakaf tahun ini berjumlah hampir RM1 juta kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

YBhg Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Bin Mohamed, berkata bayaran itu membabitkan 947 lot tanah seluas 996 hektar yang diberikan kerajaan negeri melalui PTG kepada pihaknya sebelum ini.

"Tanah itu diserahkan oleh kerajaan negeri kepada MAIPk bagi memastikan hak milik terhadap tanah itu kekal.

"Ia bukan sahaja bagi mengekalkan hak milik tanah, malah tanah itu dapat dibangunkan dan dimajukan untuk kepentingan ekonomi umat Islam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan replika cek pembayaran berkenaan kepada YBrs Pengarah PTG Negeri Perak, Tuan Haji Rumaizi Bin Baharin di Dewan Serbaguna PTG Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada pemberian tanah itu sekali gus dapat membantu kerajaan menangani masalah pencerobohan tanah di negeri itu.

Sementara itu, Tuan Haji Rumaizi berkata, kerajaan negeri akan menyerahkan tanah keseluruhan seluas 6,879 hektar kepada MAIPk secara berperingkat.

"Bagi penyerahan pertama, PTG Perak sudah menyerahkan Notis 5A berkaitan pemberimilikan tanah sebanyak 947 lot pada awal tahun ini.

"Penyerahan kali kedua iaitu 900 lot membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar akan diserahkan pada Januari atau Februari nanti," katanya.

Beliau berkata, penyerahan tanah wakaf itu selepas ini akan dilakukan secara berterusan dan berskala kecil serta berperingkat bagi menyelesaikan kesemua 6,879 lot tanah.

Pada majlis sama, Tuan Haji Rumaizi turut menerima cek pembayaran caj air bagi penggunaan kuasa elektrik dan kegunaan domestik berjumlah RM1.2 juta daripada syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd.

MAIPK Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta

Tuan Haji Rumaizi berucap dalam majlis yang berlangsung.

MAIPK Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta

Dr Amiruddin menyerahkan bayaran premium tanah kepada Tuan Haji Rumaizi.

MAIPK Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta

Dr Amiruddin dan Tuan Haji Rumaizi bersama peserta yang hadir dalam majlis berkenaan.

MAIPK Serah Premium Tanah Wakaf Hampir RM1 Juta

Antara tetamu yang hadir dalam majlis yang dilangsungkan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.