Belanjawan Negeri Perak 2021 Lulus. : 18 Disember 2020

Belanjawan Negeri Perak 2021 Lulus. : 18 Disember 2020

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Saarani  bin Mohamad bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan sidang akhbar selepas sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 18 Disember - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM1.215 bilion secara sebulat suara.

Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021 itu mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) .

Hari ini,  YAB Menteri Besar, Dato’Haji Saarani  bin Mohamad membuat penggulungan terakhir perbahasan Belanjawan Perak 2021 sebelum ia diluluskan.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut untuk menyatakan persetujuan.

59 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.

Sejurus itu, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga.

Pada perkembangan sama, pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2021 yang dibentangkan pada Rabu lalu menyaksikan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2021 kepada RM1.215 bilion berbanding RM1.098 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM785.1 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.