YAB Menteri Besar Rasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak. : 28 Disember 2020

YAB Menteri Besar Rasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak. : 28 Disember 2020

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Saarani bin Mohamad bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal bin Kamarudin, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharudin dan Ybhg. Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin bin Yusop.

IPOH, 28 Disember 2020 - Sebanyak 100 juta pokok bakal ditanam diseluruh negara menerusi ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ bermula tahun 2021 hingga 2025 bagi meneruskan agenda penghijauan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Saarani bin Mohamad berkata, kempen tersebut merupakan kesinambungan atas kejayaan ‘Kempen Penanaman 26 Juta Pokok’ dimana sebanyak 10,206,420 pokok telah berjaya ditanam di seluruh negeri Perak dari tempoh 2010 hingga 2014.

“Kempen yang dijalankan bermatlamat untuk mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain memelihara serta memulihara kawasan berhutan dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan.” ujarnya ketika sidang media Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal bin Kamarudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharudin dan Ybhg. Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin bin Yusop.

Jelasnya lagi, sebanyak 1,217,966 pokok turut ditanam di Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak sepanjang tahun 2020.

Kesemua pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan/pendidikan dan orang awam turut digalakkan mengambil bahagian dalam usaha penanaman itu.

“Agenda penghijauan ini telah diberi nafas baharu bagi menarik minat pelbagai agensi untuk bersama-sama membantu pihak kerajaan meningkatkan kualiti dirian hutan selain memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Kita berusaha memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok dapat dicapai.” katanya.

Tambahnya lagi, kempen tersebut diadakan untuk tempoh lima tahun dengan tujuan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara kawasan berhutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

Pada perkembangan sama,kempen yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri itu dijangka dirasmikan  YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, pada 5 Januari ini.

Sumber : Korporat, SUK Perak.