1,200 Penuntut IPT Anak Perak Terima Bantuan Mahasiswa Terkesan Covid-19.: 29 Disember 2020

1,200 Penuntut IPT Anak Perak Terima Bantuan Mahasiswa Terkesan Covid-19.: 29 Disember 2020

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Saarani bin Mohamad bergambar bersama para pelajar.

IPOH, 29 Disember 2020 — Seramai 1,200 mahasiswa anak Perak B40 layak menerima bantuan RM150 secara ‘one-off’ bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat COVID-19.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’Haji Saarani bin Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi telah memperuntukkan RM200 ribu bagi tujuan itu.

“Peruntukan ini melibatkan pemberian sebanyak RM150 untuk diagihkan kepada mahasiswa yang layak dan menepati kriteria ditetapkan,” katanya ketika menyampaikan Bantuan Khas Mahasiswa di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud; YB Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Tuan Haji Razman bin Zakaria serta Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Ybrs.Tuan Haji Misbahul Munir bin Masduki.

Jelasnya lagi, bantuan tersebut melibatkan seramai 551 mahasiswa untuk fasa pertama dimana pembayaran telah mula disalurkan pada 18 Disember lalu manakala baki 649 mahasiswa akan menerima bayaran bermula Januari bagi fasa kedua melalui transaksi atas talian.

“Di antara kriteria utama yang diambil kira dalam pemberian bantuan adalah mahasiswa yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah kemiskinan dan mahasiswa yang terjejas akibat daripada pengumuman penangguhan pendaftaran oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi kemasukan Oktober lalu,” katanya.

Kerajaan negeri amat memahami kesukaran yang dihadapi mahasiswa dan berharap usaha yang dijalankan dapat mengurangkan beban mahasiswa.

“Usaha yang dilaksanakan ini diharap dapat mengurangkan beban kos sara hidup serta menampung keperluan tambahan seperti membeli data mudah alih, pembelian aplikasi webinar, bahan rujukan pembelajaran dan lain-lain keperluan akademik,” katanya lagi.

Sementara itu, keprihatinan Kerajaan Negeri Perak itu disambut baik oleh mahasiswa dalam membantu nasib mereka yang terkesan.

Wong Kin Hou, 20 tahun, seorang penuntut Universiti Malaya berkata usaha kerajaan negeri ini dianggap sebagai sesuatu yang baik dan patut diteruskan dalam membela nasib mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantu saya dalam meneruskan pelajaran dan  bantuan seperti ini wajar  diteruskan kerana kita tidak tahu bila akan berakhirnya wabak pandemik ini.

“Saya amat menghargai usaha yang telah ditunjukkan oleh pihak Kerajaan Negeri Perak dan saya berharap agar wabak pandemik ini dapat berakhir dengan cepat supaya saya dapat meneruskan pembelajaran saya seperti biasa,” katanya.

Seorang lagi penuntut Universiti Teknologi Mara, Nur Firas Inani binti Zainal, 20 tahun, berkata, program bantuan sebegini perlu diperluaskan ke seluruh negeri Perak kerana ramai lagi di luar sana yang memerlukan bantuan seperti ini.

“Bantuan seperti ini perlu diperluaskan kerana ramai di luar sana terlepas pandang akan usaha Kerajaan Negeri Perak dalam membela nasib mahasiswa seperti saya.

“Usaha yang telah ditunjukkan ini amat membantu saya dalam menyediakan keperluan belajar seperti data mudah alih yang amat diperlukan untuk pembelajaran dalam talian seperti yang ditetapkan oleh pihak universiti dalam meneruskan pelajaran sebagai seorang mahasiswa,” katanya.

Sumber : Korporat, SUK Perak.