DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Jangan Serah Amanah Kepada Golongan Bermoral Rendah : 12 Januari 2021.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Jangan Serah Amanah Kepada Golongan Bermoral Rendah : 12 Januari 2021.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bergambar bersama Yang Dipertua dan seluruh anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)

IPOH, 12 Januari 2021- Umat Islam diingatkan supaya tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar umat islam dengan segala daya dan kekuatan menolak perlakuan golongan yang berimej mungkar dan munafik, kerana ia boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam.

Baginda bertitah, umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.

"Masyarakat Islam hendaklah dibina daripada kalangan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna dalam semua lapangan, merangkumi kehidupan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara.

"Masyarakat Islam hendaklah diserlahkan melalui kecemerlangan ummah menguasai ilmu dan pengetahuan, pekerjaan dan profesion, penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan serta kehebatan budaya dan keagungan tamadun," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Penggal 2021-2023, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak di Dewan Al Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 18 daripada 19 anggota MAIPk yang hadir termasuk Ahli Dewan Negara Perak yang juga Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini; YAB Menteri Besar Perak,  Dato’ Saarani bin Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan dan YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin.

Turut menerima watikah ialah YAA. Dato’ Dr Mohd Naim bin  Mokhtar yang dilantik sebagai Hakim Utama Mahkamah Syariah negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie negeri Perak, Ybrs. Tuan Mohd Asri bin Mohd Ghazali.

Dalam titah itu juga, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah peruntukan Perlembagaan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walaupun berlaku perubahan kepimpinan politik negara serta negeri setiap kali selepas pilihan raya.

Baginda bertitah, kemuliaan Islam perlu diangkat dan tidak bergantung semata-mata kepada keistimewaan kedudukannya dalam Perlembagaan kerana tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan.

"Tanggungjawab memberi erti, makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.

“ Rakyat sedang memerhati, mendengar, mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini dan menyifatkan ujian yang sedang dilalui kini berpunca daripada perbuatan zalim manusia.

"Hamba-Mu memohon agar dilindungi ummah-ummah yang tidak berdosa daripada ditimpa bala bencana akibat daripada perbuatan zalim pihak-pihak yang telah melanggar perintah Mu, Ya Allah. Ya Wahhab! Ya Razak! Ya Rafiq! Ya Muiz!.

"Di atas bahu hamba-Mu ini, Engkau amanahkan tanggungjawab berat sebagai Ketua Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan. Kepada Mu jua, hamba-Mu memohon dikurniakan hidayah agar dapat membantu hamba-Mu menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan, memimpin jemaah menemui jalan lurus yang dapat memberi kebahagiaan dunia serta  akhirat.

"Ketika dunia sedang berhadapan pelbagai kemelut sama ada berbentuk wabak penyakit yang terus menular, bencana alam yang sering melanda, polemik politik yang semakin bergelombang dan suasana ekonomi yang suram, kuatkan pegangan dan kukuhkan iman sekalian hamba-Mu agar yakin kepada kuasa-Mu yang Esa," titah baginda.

Sumber : Korporat, SUK Perak.