SUK Perak Lancar Buku Pelan Strategik 2021-2025. : 19 Januari 2021.

SUK Perak Lancar Buku Pelan Strategik 2021-2025. : 19 Januari 2021.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bergambar bersama pegawai atasan semasa Pelancaran Buku Perancangan Strategik Pejabat SUK 2021-2025

IPOH, 19 Januari 2021- YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim telah melancarkan buku Pelan strategik 2021-2025 bagi menjayakan visi PSUK Perak dalam menjadi ‘Peneraju Transformasi Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri Perak Menjelang 2025’ hari ini.

Pelan strategik ini merupakan garis panduan bagi memastikan segala perancangan dapat direalisasikan selaras dengan dasar-dasar kerajaan negeri.

Usaha tersebut telah dirangka melalui pengenalpastian isu-isu strategik dan analisis persekitaran yang menjadi faktor utama penyampaian perkhidmatan yang akan memberi kesan tinggi kepada pemegang taruh, rakan strategik serta pelanggan.

Dalam memastikan objektif pelan tercapai, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak memfokuskan empat (4) teras utama dalam membentuk pelan iaitu pembangunan sosioekonomi, pemerkasaan pengurusan lestari alam sekitar, sistem penyampaian digital dan penyampaian perkhidmatan.

Pada perkembangan sama, Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik 2021-2025 itu telah didadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan secara ringkas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negeri Perak.

Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Puan Nor Sham binti Rahman; YBrs Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Puan Anita binti Amri.

Sementara itu, Pelan Strategik 2021-2025 itu akan diedarkan ke seluruh Jabatan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga Badan Berkanun yang ada di negeri Perak supaya pihak-pihak berkenaan dapat meningkatkan kualiti kerja dan fokus dalam meningkatkan pembangunan yang sekata.

Buku Pelan Strategik 2021-2025 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan ini juga boleh diakses melalui Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak di pautan www.perak.gov.my.

Sumber : Korporat, SUK Perak.