DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-16 USAS : 9 Disember 2023

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-16 USAS.

Baginda kemudiannya berkenan mengisytiharkan pembukaan Istiadat Konvokesyen USAS ke-16.

KUALA KANGSAR, 9 Disember 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-16 Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Jubli Perak, pagi ini.

Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak, disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (Bersara) Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin.

Baginda kemudiannya berkenan mengisytiharkan pembukaan Istiadat Konvokesyen USAS ke-16 dan mengurniakan watikah pelantikan Pro-Canselor USAS kepada YBhg. Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin bin Kardi.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,525 graduan merangkumi ijazah doktor falsafah seramai 12 orang, ijazah sarjana seramai 34 orang serta diploma pascasiswazah seramai sembilan orang manakala bagi sarjana muda adalah 778 orang dan selebihnya daripada graduan diploma.

Dalam istiadat konvokesyen tersebut, baginda menyampaikan lima anugerah iaitu Anugerah Tuanku Canselor; Anugerah YAB Menteri Besar Perak; Anugerah Naib Canselor USAS; Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial serta Anugerah Terbaik Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.

Penerima anugerah berkenaan adalah Mohamed Aiedil Putera bin Sulaiman, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) (Anugerah Tuanku Canselor); Muhammad Asyraf bin Mohd Zamri, Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis) (Kepujian) (Anugerah YAB Menteri Besar Perak) dan Aljazira bin Zainal, Diploma Kaunseling Islam (Anugerah Naib Canselor).

Manakala, bagi Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, penerima adalah Luqman Haqim bin Awang Kecil, Ijazah Sarjana Musa Bahasa Arab (Kepujian) dan Mohamad Syahrul Asas bin Ab Malik, Diploma Pengajian Islam.

Bagi penerima Anugerah Terbaik Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat pula adalah Siti Nur Izzati binti Jumali (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer) (Kepujian) dan Nurdania Fatihah binti Mohd Rohaizan (Diploma Perakaunan).

Baginda berkenan bersantapan bersama penerima anugerah dan ibu bapa sebelum mengakhiri majlis.

Sumber : Korporat, SUK Perak.