EU Salur Geran 9.5 Juta Kepada PoABI Dan PKNPk, Laksana Kajian Sektor Maritim Negeri Perak : 11 Disember 2023

EU Salur Geran 9.5 Juta Kepada PoABI Dan PKNPk, Laksana Kajian Sektor Maritim Negeri Perak.

Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot ketika menyampaikan ucapan.

IPOH, 11 Disember 2023- Kesatuan Eropah (EU) telah menyalurkan geran berjumlah RM9.5 juta kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi menjalankan kajian terhadap sektor pelabuhan dan maritim di negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, geran itu akan digunakan untuk kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim serta memaparkan data-data mengenai kesesuaiannya sebagai sebuah pusat logistik dan pengangkutan antarabangsa.

“Pemberian geran daripada EU ini merupakan satu pencapaian penting yang membuktikan kepentingan negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama selain membantu Lumut mencapai potensinya sebagai penggerak utama yang memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak.

“Kekayaan sumber semulajadi Perak serta ketersediaan infrastruktur ditambah dengan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut atau Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), selain hubungan yang terjalin dengan PoABI telah menjadikan negeri ini tarikan kepada EU untuk membuat kajian secara komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk di Casuarina Meru, di sini.

Hadir sama YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zaki bin Mahyudin; TYT Duta Kesatuan Eropah (EU), Michalis Rokas; TYT Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker; Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot; YBhg. Ketua Pengarah Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, kajian komprehensif tersebut merangkumi sembilan penilaian melibatkan empat penilaian awal yang memberi tumpuan kepada Malaysia secara umum bagi menarik potensi EU atau pelabur asing lain.

"Lima lagi baki penilaian akan memberi tumpuan dalam menyediakan hala tuju Lumut sebagai pintu masuk ke Malaysia.

"Selain itu, kajian tersebut telah bermula sejak September lalu dan mengambil masa 18 bulan untuk disempurnakan," ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut turut berlangsung majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham Usaha Sama (JVSA) untuk menubuhkan LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo) sebagai sebuah syarikat tujuan khas bagi bersama-sama membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu.

JVSA merupakan fasa baharu kerjasama PKNPk dan PoABI, anak syarikat Port of Antwerp-Bruges dalam menjayakan inisiatif LUMIC dengan menjadikan Perak sebagai pusat maritim dan logistik terkemuka sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan sosioekonomi.

Kerjasama strategik antara PKNPk dan PoABI untuk menubuhkan LuMIC dan menjadikannya pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030, sejajar dengan komitmen untuk menjadi pusat maritim terulung selain mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur.

Sumber : Korporat, SUK Perak.