Kerajaan Perak Proaktif Mantapkan Kemahiran Pegawai Ke Arah Sistem Penyampaian Terbaik : 13 Disember 2023

Kerajaan Perak Proaktif Mantapkan Kemahiran Pegawai Ke Arah Sistem Penyampaian Terbaik.

YBrs. Pegawai Daerah Muallim ketika sesi perbincangan susulan program

IPOH, 13 Disember 2023- Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan kemahiran dan kebolehan para pegawai ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan awam yang bukan sahaja cemerlang malahan berdaya saing tinggi.

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Nor Sham binti Rahman berkata, bagi memastikan hasrat ini dapat dilaksanakan, para pegawai kanan di pentadbiran Kerajaan Negeri Perak yang terpilih telah diberikan latihan bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan memantapkan kemahiran diri dalam aspek kepimpinan serta tadbir urus mencakupi bidang tugas utama jabatan masing-masing.

"Oleh yang demikian, Program Leading With Impact: Senior Leadership Programme For Land Administrators di Melbourne, Australia merupakan antara program yang telah diatur untuk disertai oleh para pegawai kanan di pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

"Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pegawai agar dapat terus memandang ke hadapan dan menetapkan wawasan (vision), hala tuju dan strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir urus jabatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Sesi Follow Up program Leading With Impact: Senior Leadership Programme For Land Administators di Royal Perak Golf Club (RPGC) di sini.

Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; YBrs. Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah bin Meor Abd Malik; YBrs. Pegawai Daerah Kerian, Encik Mohd Sabli bin Bakri; YBrs. Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori; YBrs. Pegawai Daerah Manjung, Encik Shamsul Ridzuan bin Idris; YBrs. Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria; YBrs. Pegawai Daerah Muallim, Encik Mohamad Fitri bin Hassan, YBrs. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Encik Syamsul Hazeman bin Md. Salleh; YBrs. Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Encik Mohd Ikram bin Ahmad; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP), Encik Mohamed Akmal bin Dahalan; YBrs. Timbalan Pengarah Kanan (Kerajaan Tempatan) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Puan Mufidah binti Mahfodz; YBrs. Ketua Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Cik Nor Azura binti Abdul Rahman dan YBrs. Ketua Program Kanan Leading With Impact: Senior Leadership Programme For Land Administrators, Encik Ismail Johari bin Othman.

Ujar YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman lagi, diharapkan agar penglibatan pegawai bagi program luar negara seumpama ini bukan sahaja akan dapat memantapkan lagi kemahiran dalam bidang tugas masing-masing.

"Para pegawai perlulah memastikan outcome dari program ini dapat memberi suatu nilai tambah terhadap proses kerja pegawai mahupun jabatan khususnya yang melibatkan pembangunan tanah, kepimpinan dan penyeliaan selain tadbir urus yang jitu dan bersepadu.

"Program seumpama ini pastinya akan dapat meningkatkan kepakaran seseorang pegawai mengikut kehendak semasa dan membolehkan pegawai tersebut untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan," ujarnya lagi.

Terdahulu pada sesi tersebut turut diadakan sesi bimbingan mentor oleh tiga orang panel jemputan Razak School Of Government (RSOG) iaitu YBhg. Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan bin Darus; YBhg. Mantan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Halimi bin Abd Manaf dan YBhg. Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Seri Dr Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan.

Dalam perkembangan sama, terdapat tiga siri bagi Program Leading With Impact: Senior Leadership Programme For Land Administators Di Melbourne, Australia di mana Razak School of Government (RSOG) telah dilantik sebagai penyedia latihan (training provider).

Siri pertama atau sesi pengenalan telah diadakan di RSOG, Cyberjaya pada 6 September 2023, manakala siri kedua iaitu sesi pengalaman pembelajaran di Melbourne, Australia yang telah diadakan pada 9 hingga 13 Oktober yang lalu dan yang terakhir sesi ketiga iaitu sesi susulan yang telah diadakan pada hari ini.

Sumber : Korporat, SUK Perak.