Perak Economic Outlook 2024 Pacu Pertumbuhan Ekonomi Tahun Hadapan : 14 Disember 2023

Perak Economic Outlook 2024 Pacu Pertumbuhan Ekonomi Tahun Hadapan.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian

IPOH, 14 Disember 2023- Menyambut baik pendekatan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, Kerajaan Negeri Perak pantas dalam menyusun strategi dengan mengadakan Perak Economic Outlook 2024 bagi melihat fokus negeri itu pada tahun hadapan selain membahas peluang dan isu-isu berkaitan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, selain menjadi forum bagi membahas peluang dan isu-isu sewajarnya, Perak Economic Outlook 2024 merupakan pendekatan amalan terbaik dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus menjayakan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030.

“Forum ini turut menyambut baik pendekatan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilihat sebagai tunjang bagi mendepani kerencaman semasa dan jangka panjang untuk merombak struktur ekonomi dan mengangkat kualiti kehidupan rakyat.

“Secara umum, Perak tentunya akan mengekalkan tumpuan kepada sektor-sektor yang menjadi penyumbang tertinggi kepada KDNK negeri di samping memfokuskan kepada sektor pelaburan, sektor pelancongan, sektor berimpak tinggi yang memberi nilai kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman; YBhg. Pengarah Institut Asia-Eropah (AE) Universiti Malaya (UM), Prof. Ulung Ekonomi Negara Dato’ Dr. Rajah Rasiah; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, fokus juga akan diberikan bagi meningkatkan kerjasama awam dan swasta, tanpa mengenepikan pembangunan sosial yang menjadi keutamaan negeri pada tahun hadapan seperti difokuskan dalam Belanjawan Perak 2024.

“Kita juga akan melihat kepada keperluan pembangunan ekonomi yang seimbang antara daerah kerana dalam pelan Perak Sejahtera 2030, kesemua daerah negeri Perak telah dijenamakan mengikut potensi dan keistimewaan yang dimiliki daerah.

“Konsep pengkhususan daerah ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memastikan jurang pembangunan antara daerah dapat dikurangkan,” ujarnya lagi.

Sumber : Korporat, SUK Perak.