Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 Dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 : 31 Disember 2023

Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 Dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024.

Menurut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, setiap daripada semua rakyat Perak adalah duta-duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung.

BATU GAJAH, 31 Disember 2023 - Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak telah menganjurkan sambutan berganda iaitu Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad yang hadir bersama isteri, YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin.

Menurut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, setiap daripada semua rakyat Perak adalah duta-duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung.

"Kali terakhir kita mengadakan kempen Tahun Melawat Perak ialah pada tahun 2017 dan jika mengikut perancangan asal, ia akan diadakan semula pada tahun 2022. Namun, susulan pandemik COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan, dan selepas keadaan sudah kembali pulih, kita telah memutuskan untuk meneruskannya pada tahun 2024.

"Kita adalah duta-duta negeri untuk mempromosikan sejarah, budaya serta jurucakap yang menghebahkan mengenai pesona, keindahan dan keunikan negeri kita.

"Manfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa jua medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong. Kongsikan mengenai kelazatan makanan, keunikan kegiatan budaya serta program-program menarik yang disusun sepanjang kalendar pelancongan 2024," jelasnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Tambahnya lagi, menjelang tahun baru ini, kita telah berjaya melalui setiap dugaan sebagai keluarga besar yang selalu bersama-sama berusaha membina negeri yang ampuh dan kuat dalam menempuh apa jua cabaran dan rintangan.

"Dalam kita menghitung detik-detik akhir menjelang tahun baru ini, marilah kita memasang keazaman untuk berganding bahu untuk sama-sama memastikan negeri kita ini terus mengecapi kemakmuran. Sama-samalah kita menguatkan ikatan perpaduan yang selama ini menjadi kunci dalam mengharungi rintangan dan mencipta kejayaan.

"Tahun baru tidak hanya untuk merayakan pencapaian masa lalu, tetapi juga untuk merancang masa depan yang lebih baik bersama-sama. Inilah saatnya untuk kita meningkatkan persefahaman, menyuburkan benih-benih muafakat, dan mematikan bibit-bibit persengketaan. Jadikan 2024 sebagai tahun yang lebih gemilang buat Perak Darul Ridzuan," katanya.

Turut berlangsung, acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api yang ditunggu-tunggu seramai 15,000 orang yang membanjiri Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee serta barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Nurmalis binti Musa.

Sambutan diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik Tourism Perak dan pelancaran jersi Perak FC musim 2024 serta pelepasan kepada 200 orang pemandu Grab Car sebagai gimik rakan strategik Tahun Melawat Perak 2024.

Sumber : Korporat, SUK Perak.