Seminar Dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak : 3 Januari 2024

Seminar Dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak

YBhg. Dato’ Dr. Hj Adnan bin Mat selaku Presiden CUEPACS menyampaikan ucapan di program berkenaan.

IPOH, 3 Januari 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad telah merasmikan Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut beliau, seramai 773 pegawai yang berada di gred 11 telah dinaikkan pangkat ke gred 14 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang telah melibatkan jumlah anggaran kos RM6 juta melalui Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam Negeri Perak bagi Kumpulan Pelaksana.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Perak juga telah meluluskan Cadangan Pemberian Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) Untuk Kumpulan Pelaksana Gred N26/W26/N28/W28 hakiki di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

“Pemberian elaun ini adalah sebagai galakan dan insentif kepada kumpulan pelaksana di gred lantikan yang berpotensi untuk memohon dan mengisi kekosongan hakiki di gred kenaikan pangkat di samping mengambil kira bebanan tugas yang lebih berat dan kompleks di jabatan baharu yang bersaiz lebih besar,” jelasnya ketika berucap di program berkenaan.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Presiden CUEPACS, YBhg. Dato’ Dr. Hj Adnan bin Mat; YB Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Encik Sivanesan A/L Achalingam serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Program seawal jam 8.30 pagi tersebut dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengurus CUEPACS Living Care, Encik James D. Ravi yang menjelaskan tentang Skim Simpanan dan Kesihatan Pelbagai Manfaat.

Taklimat diteruskan oleh YBrs. Timbalan Pengarah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Perak, Tuan Roslan bin Pilus mengenai Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Taklimat diakhiri oleh YBrs. Naib Presiden Jabatan Strategi Korporat, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tuan Aizul Fahmi bin Nizaruddin mengenai peranan KWAP dalam perkhidmatan awam.

Dianggarkan lebih 800 orang penjawat awam di seluruh Perak hadir ke program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.