Projek SVTP Pemangkin Hab Perindustrian Baharu Negara : 8 Januari 2024

Projek SVTP Pemangkin Hab Perindustrian Baharu Negara

Tetamu kehormat melakukan gimik perasmian

IPOH, 8 JANUARI 2024 - Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) akan membangunkan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) yang menyasarkan kemasukan pelaburan swasta sebanyak RM14 bilion di keluasan 816 ekar.

Pemeteraian perjanjian usaha sama antara anak syarikat PKNPk iaitu Perak Corporation Berhad dan Advancecon Holdings Berhad itu telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad di Hotel Casuarina@Meru.

Menurut YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, projek yang terletak di lokasi strategik antara Taman Perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya, telah mempunyai ekosistem sokongan termasuk kedudukannya yang berdekatan dengan kemudahan asas sedia ada serta memberikan nilai tambah dalam menarik pelabur.

"Melalui perjanjian ini, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam pembangunan SVTP.

"Saya yakin, lonjakan penting bagi fasa baharu SVTP ini tidak hanya mampu mencipta 13,000 peluang pekerjaan yang disasarkan, tetapi juga dapat memposisikan Perak pada garisan revolusi industri melalui kolaborasi pintar dan pacuan inovasi dalam sektor-sektor strategik, " jelasnya.

Tambahnya lagi, projek yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun, akan memastikan SVTP ini berupaya menjadi pemangkin dan pemacu kepada pembangunan perindustrian negeri dan menjadi hab perindustrian baharu negara, aspek kualiti, keselamatan juga tidak akan dikompromi.

Di majlis tersebut, telah berlangsung pertukaran perjanjian antara YBhg. Ketua Pengarah Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Rosmin bin Mohamed kemudiannya menyerahkan perjanjian tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Advancecon Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Phum Ang Kia.

YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pelaburan SVTP banyak bergantung kepada pemprosesan mineral yang menjadi kekuatan negeri Perak seperti elektrik dan elektronik serta farmaseutikal.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim serta YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi.

Sumber : Korporat, SUK Perak.