Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baharu 2024 YAB Menteri Besar Perak : 10 Januari 2024

Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baharu 2024 YAB Menteri Besar Perak.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan executive talk dan amanat tahun baharu 2024

IPOH, 10 Januari 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menekankan lima fokus utama sebagai agenda penting kerajaan negeri pada tahun ini sempena Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2024.

Kesemua lima fokus tersebut merupakan faktor penting dalam melebarkan sayap ekonomi serta kesejahteraan Negeri Perak Darul Ridzuan di samping merealisasikan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030.

Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Memberdaya Ekonomi, Meneroka Sumber Pendapatan Baru

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyeru agar semua jabatan, agensi dan pihak berkaitan untuk agresif dalam mencipta peluang dan memanfaatkan kekuatan yang ada, supaya kita mampu bersaing dalam ekosistem ekonomi yang serba kompetitif.

Kekuatan dan kapasiti yang ada untuk meneroka cabang-cabang baru ekonomi yang lain boleh diperluaskan melalui tiga potensi iaitu:-

  • Ekonomi Biru (blue economy) iaitu menggali potensi ekonomi mampan dari laut dan kawasan pesisir
  • Ekonomi Hijau (green economy) iaitu menjadi peneraju dalam memajukan ekonomi yang berteraskan kelestarian
  • Ekonomi Penjagaan (care economy) iaitu menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan kesihatan atau health tourism dengan kewujudan pusat-pusat rawatan baharu.
  1. Memacu Inovasi Dalam Sistem Penyampaian

Pelbagai inisiatif telah dirangka melalui Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri agar ia dapat dilaksanakan secara inklusif pada tahun ini. Antaranya:-

  • Pembangunan Sistem Pengurusan Kewangan dan Aset
  • Pembangunan Sistem eMufti - Fasa II
  • Naiktaraf Sistem S3PK (Modul Bekalan dan Perkhidmatan)
  • Pembangunan Sistem Pengurusan Urusan Perkhidmatan Penjawat Awam Negeri Perak
  • Naiktaraf Sistem Maklumat Perancangan Negeri Perak (SISIP)
  • Pembangunan Platform Perkongsian Data (Geo Hub)
  • Kajian Pelaksanaan Inisiatif Emerging Technologies (ET)
  • Konvensyen ICT Peringkat Negeri Perak
  1. Mengangkat Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat

Program-program outreach terus diperluaskan bagi memastikan tiada rakyat miskin yang tercicir daripada sentuhan kerajaan.

Bagi mengukuhkan strategi tersebut dalam mencapai objektif membasmi kemiskinan seperti digariskan dalam Flagship 6 pelan Perak Sejahtera 2030, beberapa langkah telah disyorkan dan dijadikan agenda penting pada 2024. Antaranya:-

  • Memperkasa dan menambahbaik integriti data eKasih melalui sistem bancian yang tepat selain mewujudkan urusan pendaftaran secara berpusat inter-agensi.
  • Melaksanakan dapatan daripada Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri yang diadakan pada 9 hingga 10 Ogos 2023.
  • Meluaskan inisiatif One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.
  • Memanfaatkan sepenuhnya Program Komuniti MADANI.
  1. Meneguhkan Agenda Kelestarian Alam Sekitar

Antara langkah strategik yang perlu dilaksanakan bagi meneguhkan komitmen kita dalam memulihara alam sekitar termasuklah:

  • Diversifikasi sektor ekonomi.
  • Memperhebat dan mempercepat restorasi hutan.
  • Meluaskan penggunaan teknologi dalam penguatkuasaan undang-undang.
  • Menambahbaik sistem pengurusan sisa pepejal.
  1. Menjayakan Tahun Melawat Perak 2024

Penggunaan teknologi dan komunikasi digital mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik kunjungan pelancong. Antara pendekatan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Kempen digital interaktif yang menghimpunkan video-video menarik termasuk kandungan augmented reality atau AR yang memperlihatkan keindahan Perak.
  • Penggunaan aplikasi digital seperti perkongsian QR code untuk mempromosikan kawasan pelancongan,dan penggunaan aplikasi pemandu pelancongan secara virtual.
  • Gunakan data analitik untuk memahami corak keputusan pelancong untuk berkunjung ke satu-satu lokasi dan menyesuaikannya dengan penyediaan pakej-pakej pelancongan yang menarik.
  • Kolaborasi dengan pempengaruh media sosial serta tokoh-tokoh bersesuaian untuk menguar-uarkan kehebatan dan keindahan lokasi pelancongan negeri atau menghebahkan keunikan serta kelazatan produk makanan dan minuman di Perak.

Kelima-lima fokus utama tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.