Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIPK 2024-2025, Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak Dan Penyerahan Zakat : 12 Januari 2024

Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIPK 2024-2025, Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak Dan Penyerahan Zakat.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIPk, Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak dan Majlis Penyerahan Zakat

IPOH, 12 Januari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) 2024-2025, Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak dan Majlis Penyerahan Zakat.

Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan mengurniakan watikah kepada YABhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPk bagi penggal 2024-2025.

Selain itu baginda turut mengurniakan watikah pelantikan kepada 27 lagi anggota MAIPk termasuk YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin dan YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh.

Seramai tujuh anggota pada penggal 2021-2023 telah dilantik semula pada tahun ini dan 13 anggota baharu telah dilantik bagi penggal 2024-2025.

Antara anggota MAIPk baharu yang dilantik ialah YBhg. Pengarah Pendidikan Negeri, Dato' Mohamad Fauzi bin Mahson; YBhg. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Dato’ TS. Dr. Hj. Mohammad Ezanni bin Mat Salleh; YBrs. Pengarah Pertanian Negeri, Puan TS Norsiyenti binti Othman; YBrs. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Cik Nor Azah binti Ahmad Dahalan; YBrs. Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum binti Nawab Zadah Khan dan YBrs. Presiden Majlis Belia Negeri, Encik Muhammad Puhaz bin Salleh.

Bagi penerima Watikah Pelantikan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak telah dikurniakan kepada YAA Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak, Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain; YA Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, YA Tuan Haji Mohamad Taifor bin Ahmad Rusdi; YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Dato’ Haji Abd Aziz bin Mohd Yusof dan YBhg. Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Datuk Kamardin bin Hashim.

Selain itu, watikah tersebut turut dikurniakan kepada YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abd Latif; YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, YA Dato’ Mohamad Shakir bin Abdul Hamid; YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Puan Hajjah Nor Hadina binti Haji Ahmad Zabidi dan YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Dato’ Abas bin Nordin.

Dalam majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan serta wakaf kepada MAIPk daripada 10 buah syarikat korporat dan individu yang berjumlah RM7,697,167.71 serta wakaf tunai sebanyak RM100,000 bagi tahun 2023.

Antara syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan pada majlis itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM573,109.20; Boustead Plantations Berhad (RM297,626); Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (RM202,645.05); Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) (RM2,105,854.45); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM500,000); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM100,000); PLUS Malaysia Berhad (RM500,000); UDA Holdings Sdn Bhd (RM254,283); Zaman Motors Sdn Bhd (RM124,710) dan YB Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz bin Syed Abu Fasal sebanyak RM2,958,880.

Sumber : Korporat, SUK Perak.