Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 SUK Perak : 12 Januari 2024

Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 SUK Perak.

YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam SUK Perak dalam menjayakan semua program dan peristiwa pada tahun 2023

IPOH, 12 Januari 2024 - Hampir 600 orang telah hadir ke Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Majlis yang bertemakan pakaian serba biru itu telah dirasmikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim diiringi YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Norsham binti Rahman dan YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun.

Dalam ucapan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, beliau telah mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam SUK Perak dalam menjayakan semua program dan peristiwa pada tahun 2023.

"Saya dapat rumuskan bahawa kita telah menamatkan tahun 2023 dengan penuh bergaya kerana dapat membawa negeri ini sebagai satu negeri yang dipandang oleh semua pihak," jelasnya.

Tambahnya lagi, penjawat awam di negeri ini akan bersatu menghadapi tahun 2024 dalam apa jua situasi dan menyambut baik saranan YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad, untuk meneroka cabang-cabang baru ekonomi termasuk ekonomi biru (Blue Economy).

"Sebagai jentera kerajaan, kita perlu memberdaya ekonomi dan meneroka sumber pendapatan baru negeri.

"Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri kini sedang ke arah menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak yang pastinya sedikit sebanyak akan turut menyumbang ke arah peningkatan hasil negeri," ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bergerak, berjuang dan menyumbang kepada negeri sebagai satu pasukan.

"Kita tidak seharusnya hanya memberi fokus kepada unit tertentu sahaja tetapi perlu fokus kepada keseluruhan hala tuju bahagian dan seterusnya negeri.

"Selain itu, kita juga perlu melihat tuntutan rakyat dengan lebih terperinci kerana tuntutan semakin hari bukan semakin mudah tetapi ia semakin kompleks. Oleh itu, selain berinovasi, kita perlu terokai bidang teknologi baru," katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada Kumpulan Selendang Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.