Pendidikan Penting Bagi Pembangunan Warisan Sejarah : 20 Januari 2024

Pendidikan Penting Bagi Pembangunan Warisan Sejarah.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan

TAIPING, 20 Januari 2024 - Selain sektor pelancongan, sektor pendidikan juga perlu dilibatkan bagi memberi kesedaran masyarakat dalam membangunkan warisan sejarah.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, pembangunan warisan sejarah seharusnya menggalakkan penyelidikan, pemuliharaan dan pengembangan warisan kerana ia sebahagian daripada identiti negara.

"Melalui pemahaman dan apresiasi yang mendalam terhadap warisan sejarah, kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang menghargai dan menghormati pelbagai lapisan budaya.

"Oleh itu, kesedaran sejarah dalam kalangan masyarakat adalah penting untuk memastikan warisan ini bukan hanya menjadi tarikan pelancongan tetapi menjadi sumber kebanggaan dan kekayaan untuk setiap rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke- 150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping, di sini.

Hadir sama YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli Parlimen Taiping, Tuan Wong Kah Woh; YBrs. Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama, Encik Nasrul bin Menhat; YBrs. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Encik Khairul Amir bin Mohamad Zubir serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan warisan sejarah dapat diakses dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Pendidikan tentang sejarah dan budaya perlu disalurkan melalui pelbagai medium agar dapat menyentuh hati dan minda setiap individu.

"Dengan cara ini, kita boleh menyakinkan bahawa warisan sejarah bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk nostalgia, tetapi sebagai titik tolak untuk pertumbuhan dan perkembangan masyarakat yang maju dan celik ilmu," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, slogan "Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi" telah dipilih sebagai tema sambutan 150 tahun Bandar Taiping.

Tema tersebut mencerminkan keperluan untuk menjaga keindahan alam semula jadi, selain kelestarian warisan yang merujuk kepada usaha-usaha memelihara keaslian alam serta memastikan kawasan bersejarah terpelihara dengan baik dalam mengekalkan keseimbangan antara pembangunan bandar dan alam semula jadi.

Sumber : Korporat, SUK Perak.