Sesi Lawatan YAB PM Ke Projek IPR-INTAN NCER Ulu Kinta : 28 Januari 2024

Sesi Lawatan YAB PM Ke Projek IPR-INTAN NCER Ulu Kinta.

YAB Perdana Menteri ketika sesi lawatan Projek IPR-INTAN NCER

ULU KINTA, 28 Januari 2024- YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim hari ini hadir ke sesi lawatan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat- Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR-INTAN NCER) di Hospital Bahagia, di sini.

Projek tersebut merupakan salah satu pemerkasaan bantuan yang disusun oleh kerajaan bagi golongan B40 dan miskin tegar untuk menambah pendapatan keluarga mereka pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian.

Melalui projek itu juga, ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan terlibat dalam industri pertanian moden itu.

Setakat ini, terdapat lima ladang yang telah dibuka di bawah projek IPR-Intan NCER dan dijangka mengeluarkan lebih 2,100 tan hasil tanaman cili, jagung serta terung dengan nilai pasaran lebih RM29 juta.

Diharapkan dengan projek sebegini, ia dapat memberi nafas lega kepada golongan yang terlibat di samping dapat memperkukuhkan sekuriti makanan di negeri Perak seperti yang digagaskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Hadir sama dalam sesi lawatan tersebut, YB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Ekonomi, Tuan Rafizi bin Ramli; YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato' Nor Azmie bin Diron; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Terdahulu pada sebelah pagi, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim berkesempatan meluangkan masa hadir ke Program Jualan Termurah Madani Barangan Basah dan Kering di Padang Taman Klebang Restu, Ipoh.

Sejurus itu, beliau juga sempat mengadakan tinjauan di Pasaraya Mydin, Meru bagi meninjau pelaksanaan program bantuan subsidi bersasar kepada rakyat iaitu Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta menyantuni para penerima.

Sumber : Korporat, SUK Perak.