DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Angkat Sumpah Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Kali Ketiga : 1 Februari 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Angkat Sumpah Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Kali Ketiga.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan selepas menandatangani surat cara memegang jawatan.

IPOH, 1 Februari 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga selepas cemerlang dalam melaksanakan peranan yang diberi sejak tahun 2016.

Pada Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-263 (Khas) telah memilih DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, manakala DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dilantik semula bagi menjawat peranan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 31 Januari bagi tempoh 5 tahun.

Baginda berdua telah mengangkat sumpah dan menandatangani surat cara memegang jawatan pada Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Pelantikan semula DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong merupakan bukti dedikasi baginda dalam melaksanakan tanggungjawab kepada institusi diraja seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Yang di-Dipertuan Agong apabila KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada tahun 2016 dan peranan tersebut telah dikekalkan ketika Yang di-Pertuan Agong ke-16 semasa KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada tahun 2019.

Dalam perkembangan sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956 di Georgetown, Pulau Pinang.

Baginda telah dimasyhurkan sebagai DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan pada April 1987 dan selepas kemangkatan ayahandanya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada tahun 2014, baginda telah menaiki takhta sebagai Raja Pemerintah Perak Darul Ridzuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.